Hextar Industries cadang pindah penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries cadang pindah penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Hextar Industries Berhad bercadang untuk memindahkan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitannya daripada Pasara ACE ke Pasaran Utama Birsa Securities.

 

Kumpulan itu disenaraikan di pasaran ACE pada 13 Februari 2014 di bawah nama SCH Group Berhad.

 

Hextar mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1.06 bilion berdasarkan harga pasaran penutup saham pada 9 November 2023. Syarikat itu pada masa ini mempunyai 2,747,341,623 saham biasa dalam terbitan.

 

Bagi suku berakhir 30 Jun 2023, kumpulan itu mencatatkan hasil disatukan sebanyak RM251.4 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM21.2 juta.

 

Cadangan pemindahan itu bertujuan meningkatkan status dan menyediakan Hextar dengan pengiktirafan serta penerimaan yang lebih tinggi dalam kalangan pelabur. 

 

Ia juga akan meningkatkan imej korporat kumpulan dalam kalangan pelanggan, kontraktor, rakan kongsi perniagaan dan jurubank.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Hextar, Benny Ang berkata, pihaknya telah memenuhi keperluan kawal selia bagi pemindahan ke Pasaran Utama Bursa Securities dan menyasarkan untuk mengemukakan permohonan pada akhir bulan ini.

 

"Kami percaya bahawa pemindahan penyenaraian kami ke Pasaran Utama adalah tepat pada masanya dan mencerminkan operasi semasa dan prestasi kewangan kumpulan yang baik.

 

"Kami berharap penyenaraian di Pasaran Utama akan meningkatkan keupayaan kumpulan bagi mengumpul dana bagi pengembangan selanjutnya dan juga membolehkan Hextar menarik pelabur institusi untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pemindahan itu dijangka selesai pada suku pertama 2024. - DagangNews.com