Hextar rekod keuntungan bersih RM14.26 juta bagi 4QFY21 | DagangNews Skip to main content

Hextar rekod keuntungan bersih RM14.26 juta bagi 4QFY21

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Syarikat agrokimia terkemuka negara, Hextar Global Berhad merekodkan keuntungan bersih RM14.26 juta untuk 4QFY21 yang berakhir pada 31 Disember 2021 atau peningkatan sebanyak 24.6% daripada RM11.46 juta untuk suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat itu meningkat sebanyak 35.6% kepada RM138 juta dan ia disumbangkan oleh segmen kimia yang baharu diperolehinya menerusi sumbangan sebanyak RM30.6 juta. 

 

Sumbangan hasil daripada segmen pertanian meningkat sebanyak RM6.5 juta disebabkan penghantaran sebahagian pesanan tunggakan yang disebabkan gangguan rantaian bekalan.

 

Lembaga pengarah syarikat mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.2 sen sesaham, perlu dibayar pada 25 Mac 2022 kepada pemegang saham yang terdapat dalam rekod pendeposit pada 9 Mac 2022.

 

Pengarah Eksekutif Hextar, Eddie Ong berkata, bagi tahun kewangan penuh, Hextar merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM39.6 juta, 11.1% lebih rendah berbanding pendapatan sebelum ini sebanyak 10.9% atau sebanyak RM418.64 juta. 

 

"Hextar akan terus terus memberikan pulangan yang kukuh kepada pemegang saham dengan meningkatkan kadar pertumbuhan syarikat dan kami menamatkan 2021 dengan pendapatan yang kukuh pada suku keempat selain menamatkan 2021 dengan positif.

 

"Aktiviti pasaran sedang menunjukkan peningkatan dan senarai tempahan semakin meningkat. Hextar telah mencapai pertumbuhan yang baik berbanding dua suku sebelumnya yang mencerminkan kekuatan model fleksibel dalam persekitaran perdagangan luaran yang mencabar," katanya dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Megulas mengenai masa hadapan, Eddie berkata, kumpulan itu akan terus mengkaji prestasi segmen produk pengguna termasuk menukar saluran pengedarannya dan mengembangkan penawaran produknya untuk meningkatkan jangkauan pasaran.

 

Beliau berkata, segmen bahan kimia khusus hanya mula menyumbang pendapatan kukuh kerana majoriti pengambilalihan telah selesai menjelang suku terakhir 2021.

 

"Kami mempunyai platform yang sangat kukuh yang menyediakan pertumbuhan yang konsisten yang seterusnya memberikan pulangan positif kepada pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com