Hibiscus peroleh 30% kepentingan penyertaan dalam PSC PM327, antara blok penerokaan terbesar di Semenanjung | DagangNews Skip to main content

Hibiscus peroleh 30% kepentingan penyertaan dalam PSC PM327, antara blok penerokaan terbesar di Semenanjung

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Anak syarikat milik tidak langsung Hibiscus Petroleum Berhad, Straits Hibiscus Sdn Bhd menandatangani perjanjian untuk memperoleh 30% Kepentingan Penyertaan (PI) dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Blok PM327 (PM327 PSC) melalui perjanjian farm-in dengan Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Dalam kenyataan medianya, Hibiscus Petroleum berkata, urus niaga tersebut kini sedang menunggu kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat terdahulu.

 

"PSC PM327 ditawarkan sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2022 oleh Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Petronas dan telah dianugerahkan kepada Petronas Carigali dan E&P Malaysia Venture Sdn Bhd (EPMV) pada 2023.

 

"PSC PM327, sebagai salah satu blok penerokaan terbesar di luar pesisir Semenanjung Malaysia, terletak di selatan PSC Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (PM3 CAA).

 

"PM3 CAA PSC berada dalam kawasan pengaturan komersial antara Malaysia serta Vietnam dan dikendalikan oleh satu lagi anak syarikat milik penuh Hibiscus Petroleum," katanya hari ini.

 

Perjanjian farm-in adalah penjualan sebahagian daripada pegangan dalam projek sebagai pertukaran untuk pembiayaan eksplorasi.

 

Menurut Hibiscus Petroleum, PM327 PSC meliputi kawasan seluas lebih 12,500 kilometer persegi dengan kedalaman air antara 20 hingga 75 meter. 

 

Katanya, aktiviti penerokaan telah bermula sejak 2023 dan program ini termasuk pemerolehan seismik 3D baharu, memproses semula data seismik sedia ada dan penggerudian telaga penerokaan secara berperingkat.

 

Ketua Negara, Malaysia & Vietnam Hibiscus Petroleum, Dr Pascal Hossaid berkata, pihaknya mempunyai minat terhadap PM327 selama beberapa tahun dan berterima kasih kepada Petronas Carigali kerana menawarkan peluang untuk mengambil bahagian dalam penerokaan blok besar ini. 

 

"Kedudukan utara blok ini yang hampir dengan PM3 CAA menawarkan peluang sinergi yang ketara apabila sebarang penemuan.

 

"Kami sangat mengenali geologi kawasan itu yang telah menghasilkan banyak penemuan penting dan kami berharap untuk meletakkan pengalaman dan kepakaran kolektif kami untuk berusaha ke arah kejayaan penerokaan Blok PM327 dengan Petronas Carigali dan EPMV,” jelasnya. - DagangNews.com