Hibiscus Petroleum lengkapkan pemerolehan bernilai RM890 juta FIPC daripada Repsol | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum lengkapkan pemerolehan bernilai RM890 juta FIPC daripada Repsol

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 25 Jan - Anak syarikat milik penuh tidak langsung Hibiscus Petroleum Bhd, Peninsula Hibiscus Sdn Bhd telah berjaya menyelesaikan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Fortuna International Petroleum Corporation (FIPC) daripada Repsol. 

 

Hibiscus Petroleum dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa daripada harga belian sebanyak AS$212.50 juta (RM890.06 juta), jumlah bersih yang dibayar semasa siap ialah AS$123.65 juta selepas mengambil kira pelbagai pelarasan, termasuk deposit yang dibayar sebanyak AS$15 juta. 

 

Ia berkata, sesi memuktamadkan pengambilalihan itu berlaku sejurus selepas semua syarat dipenuhi seperti yang diumumkan pada 20 Januari 2022.

 

"Portfolio aset itu terdiri daripada kepentingan dan pengendalian di bawah lima kontrak perkongsian pengeluaran di Malaysia dan Vietnam. 

 

"Purata pengeluaran minyak dan gas harian kumpulan diunjurkan meningkat hampir tiga kali ganda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai pengendali aset yang baru diperoleh, ia berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk membina rekod prestasi operasi yang berjaya bagi aset pengeluarnya yang lain di United Kingdom dan Malaysia.

 

"Penyelesaian pengambilalihan ini membawa kepada penutupan proses yang bermula apabila kami mula-mula membida aset ini dan membuka lembaran baharu dalam fasa pertumbuhan kumpulan seterusnya, 

 

“Kami mengalu-alukan kehadiran pasukan Repsol ke dalam keluarga Hibiscus dan berharap untuk bekerjasama untuk meningkatkan lagi nilai daripada aset ini pada 2022 dan seterusnya,” kata Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Dr Kenneth Gerard Pereira. 

 

Menurutnya, hampir 50% daripada pengeluaran terdiri daripada gas, dan penambahan pengeluaran gas dijangka memberikan keseimbangan yang lebih baik kepada portfolio aset kumpulan dari segi kestabilan harga, pasaran dan operasi. 

 

Beliau juga berkata kepelbagaian itu mewakili aspek utama strategi peralihan tenaga kumpulan kerana gas asli dianggap sebagai bahan api penghubung yang penting apabila dunia beralih kepada campuran tenaga karbon yang lebih rendah. -DagangNews.com