Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Jatuh sakit atau hilang pekerjaan secara tiba-tiba, sebenarnya boleh menyebabkan sesebuah isi rumah jatuh dalam kelompok miskin tanpa disedari.
Berdasarkan laporan terbaru Khazanah Research Institute (KRI), Welfare in Malaysia Across Three Decades (Bahagian Pertama) yang dikeluarkan hari ini menunjukkan walaupun kemiskinan mutlak menurun, tetapi masih ramai berada dalam kategori mudah terjejas.
Pada 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6% (melibatkan 405,000 isi rumah) sekali gus menunjukkan dalam tempoh tiga dekad, sebahagian besar isi rumah telah keluar daripada belenggu kemiskinan dan menikmati hidup melebihi keperluan asas.
"Namun, kemiskinan relatif masih tinggi pada kadar 16.9% (1.2 juta isi rumah). Ini bererti 11.3% (835,000 isi rumah) mempunyai pendapatan hanya tinggi sedikit daripada pendapatan garis kemiskinan mutlak. Masih ramai berada jauh daripada taraf hidup purata masyarakat.
"Isi rumah ini sangat mudah untuk jatuh kembali dalam kategori miskin mutlak sekiranya berlaku malapetaka seperti jatuh sakit atau hilang pekerjaan," jelas laporan berkenaan menerusi laman web KRI.
Sehubungan itu, KRI berkata, usaha memperkasa ekonomi golongan ini harus digiatkan bagi meningkatkan jumlah pendapatan mereka.
"Peruntukkan kebajikan kerajaan juga perlu ditingkatkan dan sistem perlindungan sosial perlu diperluaskan
bagi membantu lebih ramai isi rumah rentan," katanya.
Menurut laporan tersebut, purata pendapatan isi rumah Malaysia pada nilai benar meningkat lebih tiga kali ganda daripada RM2,580 pada 1989 kepada RM7,901 pada 2019 manakala pendapatan penengah meningkat daripada RM1,801 kepada RM5,873.
Pada tahun lalu, pendapatan isi rumah merangkumi 45.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu peningkatan memberangsangkan, berbanding 35.9% pada 1989.
Pertumbuhan pendapatan ini telah menyumbang kepada peningkatan tahap perbelanjaan.
Corak penggunaan berubah dengan peningkatan perbelanjaan bukan keperluan seperti barangan berkaitan komunikasi, rekreasi dan kebudayaan serta makan di luar rumah, menandakan taraf hidup yang lebih baik.
"Didapati, kadar kemiskinan mutlak menurun sepanjang tiga dekad daripada 16.5% pada 1989 kepada 5.6% pada 2019, walaupun setelah mengambil kira garis kemiskinan baharu," katanya.
Dalam pada itu, jelas laporan itu, trend jangka panjang jurang pendapatan, yang biasanya diukur dengan pekali Gini, turut menurun daripada 0.442 kepada 0.407 dalam tempoh sama.
Ia menunjukkan pertumbuhan pendapatan bumiputera lebih tinggi, lantas menyumbang kepada jurang yang lebih kecil antara kaum.
"Pembangunan ekonomi turut meningkatkan purata pendapatan dan penengah di semua negeri sepanjang tiga dekad yang lalu.
"Pencapaian positif ini dapat dicapai walaupun terdapat pelbagai cabaran, termasuk yang di luar kawalan Malaysia seperti Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, yang sedikit sebanyak menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com