Hilang pendapatan dapat ‘one-off’ RM500 - PM | DagangNews Skip to main content

Hilang pendapatan dapat ‘one-off’ RM500 - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Golongan B40 yang kehilangan pendapatan layak menerima bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM500, di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

 

Dalam masa sama, bayaran tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.


 

Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima bagi kedua-dua kategori berkenaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


 

“Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. 

 

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso. 

 

“InsyaAllah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” katanya ketika mengumumkan program berkenaan yang bernilai RM20 bilion secara langsung hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Sementara itu, untukk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan, kata Muhyiddin. 

 

Ujarnya lagi, kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. 

 

“Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan. 

 

“Seterusnya, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. 

 

“Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka,” tambah Muhyiddin. - DagangNews.com