Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Program HireMalaysia berjaya menempatkan seramai 83,875 pekerja bagi tempoh hingga 27 November 2020.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 72,505 adalah pekerja bagi umur bawah 40 tahun ke bawah dan 11,370 orang pekerja bagi umur 40 tahun ke atas.
HireMalaysia adalah salah satu program yang diperkenalkan di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Incentive Programme) dan Program Latihan di bawah Penjana Kerjaya.
"Program MyApprentice pula mencatatkan seramai 5,808 perantis yang telah berjaya ditempatkan.
"Seramai 5,283 orang pekerja telah mendapat faedah daripada Bantuan Mobiliti secara one-off kepada pekerja yang berpindah dari lokasi tempat bermastautin ke tempat kerja baharu," katanya ketika menjawab soalan Sabani Mat (BN-Perlis) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Sabani Mat membangkitkan soalan berkaitan usaha-usaha dan kejayaan yang telah dicapai oleh pihak kementerian hasil pengumuman pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelaksanaan Employment Retention Programme (ERP) telah menerima 37,901 permohonan daripada majikan yang melibatkan 340,252 pekerja bagi tempoh hingga 27 November 2020.
Jumlah tersebut melibatkan sebanyak RM211.33 juta perbelanjaan yang telah dimanfaatkan oleh para pekerja.
"Program kedua adalah pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) sehingga 27 November 2020 PERKESO telah menerima 331,950 permohonan majikan yang melibatkan lebih 2.7 juta pekerja. Sebanyak RM12.39 bilion telah dimanfaatkan oleh para majikan.
"Seterusnya pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) sehingga 27 November 2020, PERKESO telah menerima sebanyak 77,882 permohonan majikan yang melibatkan seramai 782,904 pekerja. Sebanyak RM239.35 juta telah dimanfaatkan oleh para majikan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com