HLIB berhati-hati terhadap prospek MHB, saran ‘jual’ saham syarikat | DagangNews Skip to main content

HLIB berhati-hati terhadap prospek MHB, saran ‘jual’ saham syarikat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) kekal berhati-hati terhadap prospek Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings (MHB) susulan rekod prestasi operasi syarikat yang tidak berada dalam keadaan baik. 

 

Penganalisisnya, Low Jin Wu tidak menolak kemungkinan berlakunya lebihan kos atau kelewatan penghantaran untuk projek-projek syarikat buat masa ini walaupun terdapat tunggakan buku pesanan lebih tinggi.

 

“Kami percaya lonjakan semula kes COVID-19 baru-baru ini juga akan menghalang produktivitinya memandangkan MHB perlu mematuhi bilangan staf yang lebih rendah di pekarangannya dan langkah prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

 

“Kami menyemak turun penarafan perolehan tahun kewangan 2021 (FY21) daripada kerugian sebanyak -RM129 juta kepada -RM150 juta sementara unjuran FY22 dan FY23 tidak berubah,” jelas Jin Wu dalam satu nota kajian.

 

MHB mencatatkan kerugian bersih sebanyak -RM25.3 juta pada suku kedua FY21 (2QFY21) dan -RM131 juta kerugian bersih utama bagi tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21). 

 

Bagi Jin Wu, prestasi itu lebih rendah daripada jangkaan firmanya kerana aktiviti kerja yang menyusut akibat lonjakan semula kes COVID-19. 

 

Pada suku tahun semasa, tiada dividen diisytiharkan. 

 

HLIB menyarankan untuk ‘jual’ saham MHB dengan harga sasaran (TP) diturunkan daripada RM0.40 kepada RM0.35 sesaham. 

 

“Kami percaya bahawa kami perlu melihat peningkatan yang konsisten dalam keberkesanan operasi daripada MHB untuk kami membuat penilaian semula kepada saranan ini,” tambah Jin Wu. 

 

MIDF Research sebaliknya terus mengekalkan saranan ‘beli’ saham MHB dengan TP tidak berubah pada kadar RM0.49. 

 

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa projek dan inisiatif MHB terutamanya dalam perancangan untuk menembusi sektor tenaga boleh diperbaharui bakal memberi keuntungan kepada segmen perniagaan syarikat dalam jangka masa panjang seterusnya menambah baik prestasi kewangan MHB. 

 

“Kami suka MHB kerana kunci kira-kira yang kukuh dan aliran tunai sihat, tunggakan buku pesanan kukuh bagi projek semasa dan akan datang serta strategi dan inisiatif mampan untuk memastikan ketahanan perniagaan selain kesihatan, keselamatan dan persekitaran pekarangan dan kilang penapisannya,” jelas MIDF. 

 

Jumlah aset MHB bernilai RM3.1 bilion setakat 1HFY21, di mana menyusut kira-kira RM75 juta berbanding penghujung FY20. 

 

Namun, bagi MIDF, kunci kira-kira MHB kekal kukul dan syarikat akan terus menyaksikan ketahanan dari segi kewangannya. 

 

MHB juga didakwa melaporkan wang tunai yang cukup dan aliran tunai sihat untuk menempuhi sebarang cabaran akibat pandemik pada suku tahun seterusnya. - DagangNews.com