KUALA LUMPUR 5 Dis - Kimlun Corp. Bhd. dijangka mencapai sasaran nilai kontraknya seawal tahun hadapan dengan margin bagi segmen pembinaan dan pratuang terus berkembang.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, sumbangan daripada projek baharu dijangka terus meningkat pada 2023 didorong terutamanya menerusi kontrak Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR).
Katanya, kumpulan memberi panduan margin pembinaan yang stabil kepada sedikit bertambah baik pada masa hadapan memandangkan trend harga keluli yang semakin lemah.
"Dari segi penambahan semula, pengurusan tidak mungkin mencapai sasaran kemenangan RM500 juta kerana hanya mencapai nilai kontrak setakat ini kira-kira RM200 juta.
"Sebahagian daripada kekurangan ini mungkin diteruskan ke awal tahun depan di mana kami percaya terdiri daripada kontrak sektor swasta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Hasil Kimlun pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 melonjak kepada RM16.2 juta meningkat sebanyak 83% suku ke suku dengan segmen pratuang menjadi pemacu keuntungan utama ekoran pengukuhan dolar Singapura berbanding ringgit.
Segmen itu juga memperoleh beberapa keuntungan daripada bekalan dalaman kepada cabang pembinaan. Pengebilan di bahagian pembinaan meningkat tetapi keuntungan dicairkan oleh margin yang lebih lemah daripada inflasi. Sumbangan hartanah adalah kecil pada suku tersebut.
Setakat ini, nilai kontrak tertunggak kumpulan mencecah RM1.39 bilion, yang mencerminkan liputan sebanyak 2.8 kali.
Nilai tender kumpulan adalah sekitar RM800 hingga RM900 juta merangkumi kontrak daripada sektor swasta.
Menurut HLIB, Kimlun secara konservatif mengecualikan projek sektor awam di tengah-tengah perubahan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
"Beberapa projek utama yang menjadi sasaran utamanya termasuklah projek Transit Aliran Automasi (ART) Kuching, Fasa 2 Lebuh raya Pan Borneo, Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan pembinaan Laluan Transit Laju (RTS)," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kimlun dengan harga sasaran pada 85 sen.
Pada 9.39 pagi, harga saham Kimlun menokok 2.5 sen atau 3.38% kepada 76.5 sen dengan 35,600 saham diniagakan. -DagangNews.com