HLIB kekal 'pegang' saham Bursa Malaysia dengan TP RM5.95 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal 'pegang' saham Bursa Malaysia dengan TP RM5.95

Bursa Malaysia akan mengumumkan prestasi kewangan suku keempat 2021 pada 28 Januari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Bursa Malaysia Bhd. akan merekodkan pendapatan sebanyak RM68 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021, yang akan diumumkan 28 Januari ini. 

 

Penganalisisnya, Jeremy Goh berkata, anggaran itu akan menyaksikan Bursa Malaysia mencatat pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak RM358 juta, susut 5.3% tahun ke tahun, membentuk 105% daripada ramalan yang dibuat.

 

Katanya, nilai purata dagangan harian (ADTV) pada suku keempat adalah sebanyak RM2.55 bilion manakala purata kontrak harian (ADC) bagi pasaran derivatif adalah 70,400. 

 

"Jadi dengan mengandaikan hasil lain meneruskan kadar suku tahunannya kira-kira RM55 juta dan struktur kos secara relatifnya kekal tidak berubah, kami menganggarkan pendapatan pada suku keempat boleh berjumlah RM68 juta (susut 15.4% suku ke suku, 35.5% tahun ke tahun)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Bursa Malaysia Bhd. dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.95 sesaham.

 

Dalam pada itu, menurut Goh, pelaksanaan semula had duti setem (dengan siling lebih tinggi pada RM1,000) dilihat akan mengekalkan kod dagangan yang munasabah dan sejajar dengan pasaran saham lain di rantau ini, namun ADTV masih kurang menyakinkan pada Januari. 

 

"Kami positif terhadap pelaksanaan semula ini kerana ia boleh memastikan kos dagangan berada pada paras yang berpatutan dan pasaran tempatan kekal positif.

 

"Oleh itu, kami terus mengekalkan unjuran pendapatan tidak berubah dengan penurunan 30% tahun ke tahun dalam ADTV bagi FY22 kepada RM2.48 bilion. 

 

"Setakat Januari ini, ADTV sebanyak RM2.04 bilion masih di bawah jangkaan kami," jelasnya. 

 

Pada 30 Disember 2021, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan duti setem sebanyak 0.15% ke atas nilai nota dagangan saham dalam pasaran saham (sejajar dengan cadangan dalam Bajet 2022, tetapi ia lebih tinggi berbanding kadar duti setem 0.1% pada 2021) dengan had RM1,000 (berbanding dengan pemansuhan sepenuhnya had yang dicadangkan di bawah Bajet 2022 tetapi lebih tinggi daripada had RM200 pada 2021).

 

Setakat 9.29 pagi ini, saham Bursa Malaysia menokok 2 sen atau 0.31% kepada RM6.42 dengan 1,400 saham diniagakan. - DagangNews.com