HLIB kekal saranan 'beli' terhadap IOI Corp., di sebalik prospek kumpulan yang masih berdepan masalah buruh | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' terhadap IOI Corp., di sebalik prospek kumpulan yang masih berdepan masalah buruh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap IOI Corp. Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.35 setelah mengekalkan unjuran pendapatannya.

 

Menurut firma itu, pengeluaran tandan buah segar kumpulan susut 7.6% kepada 1.52 juta tan metrik pada separuh pertama tahun kewangan 2022 (berakhir 31 Disember 2021) disebabkan terutamanya masalah kekurangan buruh. 

 

Katanya, bagi tahun kewangan penuh, pengurusan menjangkakan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar yang agak negatif ekoran masalah tersebut. 

 

"Dalam usaha mengurangkan masalah kekurangan tenaga buruh ini, IOI Corp. telah mempercepatkan program mekanisasi termasuk antara lain mekanisasi pembajaan dan penyemburan racun perosak, serta automasi operasi kilang.

 

"Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap tenaga buruh sebanyak 25% dalam tempoh jangka masa panjang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Mengenai tanam semula, firma itu mendapati aktiviti tersebut berkurangan kepada kira-kira 7,000 hektar dalam tahun kewangan 2021 (FY21) (daripada 10,000 pada FY20) disebabkan langkah sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

"Kami juga mendapati aktiviti tanam semula ini akan terus menurun kepada kira-kira 5,000 hektar pada FY22 (daripada 7,000 hektar sebelum ini), di tengah-tengah persekitaran harga minyak mentah sawit yang tinggi dan masalah kekurangan tenaga buruh," jelasnya.

 

Bagaimanapun, segmen hiliran IOI Group kekal menguntungkan dalam tempoh terdekat kerana kos bahan mentah dan pengangkutan akan dikurangkan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan kos serta pertumbuhan dalam perniagaan yang khusus.

 

Menurut HLIB, pengurusan kumpulan juga melihat pelaksanaan Cukai Makmur akan memberi impak minimum memandangkan operasi huluan dibahagikan kepada lebih 30 anak syarikat. 

 

Operasi huluan secara dasarnya merupakan penyumbang utama kepada pendapatan IOI Corp, yang merangkumi lebih 90% daripada keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) pada suku pertama FY22. 

 

"Setakat ini, kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan sementara menanti laporan kewangan suku kedua pada 23 Februari ini. 

 

"Berdasarkan anggaran kami, setiap kenaikan RM100 tan metrik bagi anggaran harga minyak sawit mentah, akan meningkatkan unjuran pendapatan teras bagi FY22-FY23 sebanyak 3 hingga 4%," katanya.

 

Pada suku pertama berakhir 30 September 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM277.6 juta, hanya susut sedikit berbanding RM277.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Setakat 9.54 pagi, harga sahamnya susut 5 sen atau 1.27% kepada RM3.88 dengan 8,500 saham diniagakan. -DagangNews.com