HLIB kekal saranan 'beli' untuk Sunway Group dengan jangkaan pemulihan kumpulan lebih baik pada FY2022 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' untuk Sunway Group dengan jangkaan pemulihan kumpulan lebih baik pada FY2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Sunway Group pada harga RM2.58 sesaham selepas menjangkakan kumpulan itu akan mencatatkan pemulihan yang lebih baik pada FY2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap segmen hiburan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan akan terus meningkat sekiranya Malaysia memasuki fasa endemik selain pembukaan sempadan antarabangsa. 

 

"Sunway kekal sebagai pilihan utama kami kerana terkenal dengan operasi hartanah, pembinaan dan bahan binaan yang bersepadu.

 

"Menerusi kepelbagaian pendedahan peniagaan, kumpulan ini merupakan proksi terbaik untuk memacu pemulihan ekonomi dan kerjasama dengan GIC Pte. Ltd. akan membantu mengembangkan sektor penjagaan kesihatan pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, Sunway menetapkan sasaran jualan konservatif sebanyak RM2.2 bilion yang disokong pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion untuk FY2022 termasuk Jernih Residence Kajang (GDV RM281 juta), Sunway Bukit Jalil (RM275 juta) and Sunway Alishan Cheras (RM261 juta) pada 1H2022. 

 

Firma penyelidikan itu mendapati jumlah jualan untuk pusat beli-belah pada 4Q sangat memberansangkan dengan kebanyakan pelanggan berbelanja dengan banyak semasa musim perayaan selepas kerajaan menghapuskan sekatan perjalanan untuk COVID-19.

 

sunway

 

"Operasi taman tema juga menunjukkan keuntungan pada suku berkenaan dan kerugian daripada segmen hospitaliti dapat dikurangkan.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya segmen ini akan terus mencatatkan keuntungan menerusi pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya.

 

sunway

 

Pada masa sama, sektor pembinaan juga menunjukkan perkembangan positif pada 4Q2021 didorong oleh margin keuntungan yang lebih baik untuk sesetengah projek.

 

"FY2021 mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 3.4% untuk segmen dagangan dan pembuatan selain keuntungan sebelum cukai sebanyak 54.7% akibat peningkatan jualan daripada pasaran tempatan selain margin operasi yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com