HLIB kekal saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan jangkaan harga minyak sawit mentah kekal rendah | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan jangkaan harga minyak sawit mentah kekal rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan selepas menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal rendah dalam beberapa bulan akan datang.

 

Katanya, harga MSM dijangka rendah sehingga suku kedua 2024 berdasarkan diskaun harga tidak menarik berbanding minyak kacang soya (AS$258 setiap satu tan pada akhir 2023 berbanding purata tiga bulan dan enam bulan masing-masing sebanyak AS$367 dan AS$499 bagi setiap tan).

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebaran minyak sawit-minyak gas (Pogo) yang tidak menguntungkan juga memberi kesan terhadap harga MSM.

 

Selain itu katanya, stok simpanan yang tinggi dalam kalangan negara pengimport minyak sayuran utama (khususnya China dan India) akan mengekang permintaan jangka pendek untuk minyak sawit.

 

"Sentimen permintaan untuk minyak sawit akan bertambah baik apabila kesan El Nino mula dirasai (mungkin menjelang separuh pertama 2024 atau awal separuh kedua 2024).

 

"Kami mengekalkan unjuran harga MSM sebanyak RM4,000 bagi setiap tan pada 2024 dan RM3,800 satu tan pada 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, selepas mencecah paras terendah iaitu RM3,331 satu tan pada awal Jun 2023, harga MSM mula mencatatkan pemulihan berikutan amaran El Nino oleh pakar meteorologi.

 

Bagaimanapun, pemulihan harga itu tidak berterusan kerana stok simpanan tinggi di Malaysia selain penurunan harga minyak bunga matahari global dan rizab minyak sayuran yang tinggi di China dan India menyebabkan sentimen permintaan minyak sawit gagal dinaikkan.

 

"Sentimen harga yang lemah menyebabkan harga spot MSM 2023 lebih rendah sebanyak 11%, menjadikan harga purata MSM kepada RM3,832 satu tan pada 2023 (berbanding purata RM5,126 setiap tan pada 2022)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan IOI Corporation Berhad (beli; TP: RM4.66) dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad (beli; TP: RM2.06).- DagangNews.com