HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan unjuran harga minyak Brent tidak berubah sebanyak AS$85 (RM400.96) bagi setiap tong pada 2024/2025.

 

Katanya, selepas musim monsun, aktiviti luar pesisir tempatan akan berjalan sepenuhnya dan memberi kesan positif kepada kontraktor penyelenggaraan dan pemilik kapal sokongan luar pesisir pada suku akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemberian pakej Pan Malaysia MCM-HUC, tender kapal operasi pengeluaran dan Projek Safina 2 adalah pemangkin penilaian semula.

 

“Dengan harga minyak kekal melebihi AS$80 bagi setiap tong, kami menjangkakan pasaran penggerudian dan FPSO (penyimpanan pengeluaran dan pemunggahan terapung) akan kekal sibuk memandangkan peningkatan aktiviti E&P (penerokaan dan pengeluaran) di seluruh dunia.

 

"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Dialog Group Bhd ('beli'; TP: RM3.00), Bumi Armada Bhd ('beli'; TP: 78 sen) dan Velesto Energy Bhd ('beli'; TP: 35 sen)," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB berkata, impak pendapatan Velesto secara relatifnya terlindung berikutan kebanyakan syarikat utama minyak di rantau Asia Tenggara menyokong permintaan pelantar penggerudian dengan empat daripada enam pelantar jack-up berada di bawah kontrak jangka panjang piagam berjangka dengan kadar terjamin sehingga akhir 2025.

 

Sementara itu, piagam Naga 3 dan 5 untuk FY25 sedang dalam bidaan dan rundingan.

 

“Kadar penggunaan tahun penuh untuk FY24 seharusnya berada pada 85% (berbanding FY23: 83%) kerana ia kekal melebihi 90% pada suku kedua 2024, tetapi penggunaan armada yang agak rendah pada separuh kedua 2024 disebabkan oleh SPS (kaji selidik berkala khas) yang dijadualkan untuk Naga 2 dan 5 pada suku ketiga 2024 dan Naga 3 serta 6 pada suuku keempat tahun ini,” katanya.

 

Firma penyelidikan tu berkata, terdapat banyak projek FPSO dijangka dari 2024 hingga 2028 di Amerika Selatan dan Afrika, sambil menambah bahawa ia melihat MISC Bhd dan Yinson Holdings Bhd sedang mengintai beberapa projek ini.

 

Sementara itu, Yinson baru-baru ini telah menyiapkan pembinaan FPSO Atlanta dan Maria Quiteria bagi membida pekerjaan utama di samping beberapa peluang yang lebih kecil di Asia Tenggara iaitu Kluster Kelidang dan Salam-Patawali Sarawak, tambah HLIB. - DagangNews.com