HLIB kekal saranan 'pegang' untuk Digi dengan TP lebih rendah RM3.60 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'pegang' untuk Digi dengan TP lebih rendah RM3.60

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'pegang' untuk Digi.Com Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.60 selepas melaraskan kos purata wajaran modal (WACC) daripada 5.7% kepada 6.3%.

 

Firma itu berkata, untung bersih teras kumpulan itu bagi 2QFY22 sebanyak RM268 juta menjadikan untung bagi 1H22 kepada RM550 juta yang menyamai unjuran dan tahun penuh konsensus sebanyak 47% dan 49%.

 

"Bagi 2022, kumpulan dijangka mendapat pulangan pelaburan mereka selain nomalisasi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan jumlah hasil sekitar 12.8%.

 

"Sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai penggabungan dan struktur 5G bersama Digital Nasional Berhad (DNB), hasil dividen sebanyak 4.2% dijangka mengekalkan nilai saham kumpulan dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Digi bagi 2QFY22 menurun sebanyak 21.39% kepada RM220.04 juta berbanding RM279.91 pada tahun lalu kesan daripada pembayaran cukai makmur dan peningkatan kos kewangan. 

 

Pendapatan sesaham bagi suku berakhir 30 Jun 2022 susut kepada 2.83 sen daripada 3.6 sen sebelumnya.

 

Kadar cukai berkesan kumpulan bagi suku semasa dan tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2022 masing-masing sebanyak 39.2% dan 38.1% adalah melebihi kadar cukai berkanun sebanyak 24% disebabkan impak cukai makmur yang timbul daripada langkah cukai sekali sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia dalam Bajet 2022.

 

Pendapatan suku tahunan juga menurun 4.92% kepada RM1.54 bilion daripada RM1.62 bilion kerana pertumbuhan stabil dalam segmen pascabayar, perniagaan ke perniagaan dan gentian daripada pemerolehan berkualiti tetapi tidak dapat mengimbangi prabayar yang lebih lemah pada 2021.

 

Perbandingan suku tahun ke suku tahu menyaksikan, untung bersih Digi susut lagi daripada RM236.15 juta pada suku sebelumnya manakala pendapatan meningkat sedikit daripada RM1.52 bilion. - DagangNews.com