HLIB mulakan liputan terhadap AME REIT dengan saranan 'beli', TP RM1.35 | DagangNews Skip to main content

HLIB mulakan liputan terhadap AME REIT dengan saranan 'beli', TP RM1.35

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap AME Real Estate Investment Trust (REIT) dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.35 berdasarkan pengagihan seunit (DPU) bagi FY24 sebanyak 5.1%.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan AME REIT meningkat sebanyak 16.8%/7.6%/4.2% untuk FY23/FY24/FY25 didorong pengembalian sewa yang positif serta sumbangan daripada aset baharu.

 

"Kami menyukai AME REIT kerana ia memiliki sokongan penaja dengan rekod prestasi yang kukuh, rangkaian lengkap keupayaan penaja dan pengurusan dalam rantaian bekalan hartanah perindustrian serta pendedahan unik kepada asrama pekerja.

 

"Kami berpendapat premium itu wajar disebabkan oleh pengurusan dan rangkaian lengkap keupayaan penaja dalam rantaian bekalan hartanah perindustrian dan pendedahan uniknya kepada asrama pekerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, AME Reit merupakan pemain tulen berkaitan idustri dan REIT industri dengan portfolio aset yang terdiri daripada 31 hartanah perindustrian dan tiga asrama pekerja berkaitan industri.

 

Kesemuanya terletak merentasi lokasi berbeza di Iskandar Johor dengan agregat kawasan boleh disewa bersih (NLA) 1.61 juta kaki persegi dan nilai taksiran RM557 juta.

 

Penyewa AME REIT kebanyakannya terdiri daripada syarikat multinasional (MNC) global (90%) daripada pelbagai industri yang sedang berkembang yang beroperasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), logistik & e-dagang serta pembungkusan.

 

Selain itu, tiada penyewa tunggal membentuk lebih daripada 8% daripada NLA industri yang didudukinya, menawarkan kepelbagaian.

 

Firma itu berkata, kadar penggearan AME REIT pada 31 Disember 2022 berada pada paras 6%.

 

"Dengan mengandaikan penyediaan sehingga had yang dibenarkan (50% ditetapkan oleh garis panduan Suruhanjaya Sekuriti), masih terdapat ruang yang cukup untuk pengambilalihan sehingga RM508 juta tanpa suntikan ekuiti.

 

"Ini akan membiayai pemerolehan bersamaan dengan 90% daripada nilai portfolio AME REIT," katanya. - DagangNews.com