HLIB naik taraf saranan saham Solarvest kepada ‘beli’ selepas tingkatkan unjuran pendapatan bagi FY23-26 sehingga 17.2% | DagangNews Skip to main content

HLIB naik taraf saranan saham Solarvest kepada ‘beli’ selepas tingkatkan unjuran pendapatan bagi FY23-26 sehingga 17.2%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menaikkan taraf saranan Solarvest Holdings Bhd kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.55 sesaham daripada RM1.20 sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu telah meningkat unjuran pendapatan kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 3.4%, 17.2% dan 13.6%, selepas mengambil kira kemajuan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang lebih tinggi, ukur semula margin dan kemenangan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Tambahnya, sentimen harga saham yang positif dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang berikutan penganugerahan berterusan yang terdiri daripada kuota CGPP, kontrak EPCC, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Bahagian 2 dan Belanjawan 2024.

 

“Solarvest mencatatkan pendapatan suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) sebanyak RM6.7 juta, melebihi sedikit jangkaan kami pada 26%. Kami menjangkakan prestasi semakin baik pada masa hadapan.

 

 

BACA JUGA: Untung bersih Solarvest melonjak 56.5% kepada RM6.7 juta bagi 1QFY24 didorong kemajuan projek LSS4

 

 

“Buku pesanan belum dibilkan tertunggak bernilai RM457 juta dan kami melihat banyak peluang dalam perancangan yang akan mengembangkan buku pesanan pada suku-suku mendatang.

 

“Kemenangan CGPP sekitar 90MW (megawatt) baru-baru ini membuktikan aliran pendapatan berulang yang semakin meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambahnya, jumlah buku pesanannya mencerminkan liputan sihat 1.28 kali ganda pada hasil EPCC bagi FY23 dan projek-projek dimilikinya akan menyumbang dari segi kewangan bagi FY24 dan FY25.

 

Baru-baru ini, Solarvest melalui tiga konsortium berasingan telah memperoleh kuota 89.97MW terkumpul (29.99MW setiap satu) daripada anugerah kumpulan pertama program CGPP.

 

“Kami difahamkan bahawa melalui tiga entiti, Solarvest mempunyai pegangan ekuiti melebihi 50% pegangan untuk satu, manakala pegangan untuk baki untuk dua lagi adalah julat antara 10% sehingga 30%.

 

“Perkara di atas tidak termasuk potensi penyertaannya sebagai peranan EPCC tulen dalam beberapa projek yang disenarai pendek,” tambahnya.

 

Pada rehat tengah hari, saham Solarvest menokok 3 sen atau 2.3% kepada RM1.32 dengan permodalan pasaran sebanyak RM881.4 juta. - DagangNews.com