Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Firma penyelidikan, HLIB Research percaya jualan Lagenda Properties Berhad mampu melebihi sasaran awalnya, RM1 bilion berdasarkan kadar penukaran sebelum ini yang melepasi 90%.
Walaupun menerima cabaran daripada sekatan pergerakan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada suku ketiga, namun kata penganalisis di HLIB, Nazira Abdullah, momentum jualannya masih kukuh dicerminkan oleh perolehan tempahan sekitar RM1 bilion setakat ini.
“Berhubung kos bahan mentah yang kian meningkat, kami melihat impak tersebut minimum. Pihak pengurusan kumpulan menjelaskan bahawa mereka dapat mengubahsuai harga hartanah untuk menampung impak sedemikian dengan meningkatkan harga jualan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dan masih mampu meletakkan harga hartanahnya kurang daripada RM200,000.
“Kami menjangkakan prospek yang stabil didorong oleh kadar pengambilan hartanah bertanah mampu milik yang kukuh.
“Kami kekalkan unjuran dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.01 berdasarkan 20% pengurangan terhadap anggaran Penilaian Aset Bersih yang Dinilai Semula (RNAV) sebanyak RM2.51 sesaham,” jelas Nazira dalam satu nota penyelidikan.
Ujar Nazira, pengumuman kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk menumpukan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik serta memudahkan proses pembiayaan akan memberi manfaat kepada model perniagaan Lagenda Properties.
Sebagai rekod, Lagenda Properties merancang untuk melancarkan beberapa perbandaran baharu di Tapah, Perak dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM357 juta serta RM226 juta untuk perbandarannya yang sedia ada di Bandar Baru Setiawan Perdana (BBSAP).
Dalam masa sama, mereka juga baru-baru ini telah mengambilalih sebidang tanah kecil di Tapah daripada kerajaan.
Tanah itu dirancang untuk membina 600 unit rumah dikenali sebagai Program Khas Perumahan Perwira yang dijangka memberi sumbangan positif bermula tahun hadapan.
Ketika laporan ditulis, harga saham Lagenda Properties tidak berubah pada kadar RM1.54. - DagangNews.com