HLIB optimis terhadap sektor pembinaan didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur | DagangNews Skip to main content

HLIB optimis terhadap sektor pembinaan didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research optimis terhadap sektor pembinaan didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur di seluruh negara.

 

Katanya, projek itu merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai lebih RM10 bilion, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B (RM15.7 bilion), pakej mitigasi banjir (RM11.8 bilion), Jalan Hubungan Sabah-Sarawak (RM7.4 bilion), LRT3 (RM4.7 bilion),Laluan Hijau Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan projek berkaitan air. 

 

"Terdapat juga projek infrastruktur asas lain yang akan datang, dibiayai dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion.

 

"Projek-projek ini sepatutnya membantu memacu aliran kontrak pada 2024. 

 

"Projek perindustrian dan pembinaan pusat data kekal teguh dengan Johor disebut sebagai pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan perkembangan selanjutnya mengenai LRT Johor (RM20 bilion) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dalam beberapa bulan akan datang.

 

“LRT Johor berfungsi sebagai sistem penyebaran penting untuk projek Rapid Transit System Link (RTS Link) yang akan datang antara Jjohor Bahru dan Singapura yang akan beroperasi sepenuhnya pada 2027," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan mengekalkan unjuran mengenai pelancaran infrastruktur mega ditambah aliran kerja sektor swasta yang menjanjikan daripada pembinaan pusat data, kilang dan projek komersial serta perumahan.

 

"Pilihan utama merek adalam sektr itu adalah Gamuda Bhd (harga sasaran (TP) RM6.11) dan Sunway Construction Group Bhd (TP: RM3.20).

 

"Penilaian Gamuda adalah menarik dan berada dalam kedudukan baik bagi memasuki tender projek infrastruktur tempatan sementara Sunway Construction dilihat sebagai proksi untuk pelancaran projek yang akan datang," katanya. - DagangNews.com