HLIB positif dengan prospek Petronas, mampu bantu pemain sektor O&G kembali pulih | DagangNews Skip to main content

HLIB positif dengan prospek Petronas, mampu bantu pemain sektor O&G kembali pulih

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berpandangan positif terhadap laporan Tinjauan Aktiviti Petronas (PAO) untuk 2022-2024 memandangkan tahap aktiviti dijangka meningkat pada tahun hadapan. 

 

Bagi penganalisisnya, Jeremie Yap, ia memadai untuk membantu pemain sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) kembali pulih. 

 

Beliau juga menjangkakan Petronas akan mengekalkan perbelanjaan modal (capex) sekitar RM40 hingga RM45 bilion setahun dalam tempoh 5 tahun akan datang dengan kira-kira 9% diperuntukkan untuk inisiatif tenaga baharu. 

 

Katanya, meskipun syarikat minyak negara berazam untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifat bersih menjelang 2050, tetapi ia masih percaya minyak dan gas akan membentuk 50% daripada tenaga campuran dunia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. 

 

"Selain itu, Petronas juga menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan domestik kepada 55% daripada capex dan selebihnya untuk program antarabangsa. 

 

"Kami berpendapat, pada paras capex ini, ia cukup untuk membantu sektor kembali pulih pada 2022, meskipun lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik (2018-2019)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Petronas: Tinjauan pemulihan pada 2022 kekal rapuh, tidak menentu

 

 

Baca : Velesto dijangka terus bergelut, Dayang, Sapura Energy mungkin 'pemenang' dalam tinjauan aktiviti Petronas

 

 

Dalam laporan PAO yang dikeluarkan pada Selasa, syarikat minyak negara itu menggariskan nada optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek sektor minyak dan gas (O&G). 

 

Petronas menjangkakan laluan ke arah pemulihan permintaan yang berterusan akan kekal rapuh dan tidak menentu pada tahun hadapan apabila pasaran minyak menyesuaikan diri dengan landskap jangka pendek dan panjang, didorong oleh penyambungan semula aktiviti ekonomi di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

 

Peralihan tenaga yang dipercepatkan akan mewujudkan cabaran selanjutnya kepada perniagaan minyak dan gas tradisional, justeru, pemain industri mesti inovatif dan kekal kompetitif untuk memastikan projek dan pengeluaran boleh dilaksanakan dalam iklim ekonomi yang tidak menentu bagi kemampanan industri.

 

Daripada laporan tersebut, Yap berkata, syarikat O&G seperti Perdana Petroleum Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan Carimin Petroleum Bhd. akan mendapat manfaat daripada prospek Petronas bagi segmen segmen penyambungan (hook-up) dan pentauliahan (HUC) dan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) dan kapal sokongan luar pesisir (OSV).

 

Sebaliknya, Sapura Energy Bhd. dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MMHE) dilihat kurang mendapat manfaat daripada rangkaian nilai menerusi  platform kepala telaga (WHP) dan platform pemprosesan pusat (CPP).  

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor O&G dengan pilihan utamanya bagi saham Bumi Armada Bhd. dan Dialog Group Bhd. yang masing-masing diberi saranan 'beli' pada harga sasaran 84 sen dan RM3.38.

 

Firma itu turut mengekalkan unjuran harga minyak mentah bagi 2022 pada paras AS$70 hingga AS$75 setong memandangkan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) komited untuk menyediakan keseimbangan kepada harga minyak. 

 

"Kami berpendapat, lebihan bekalan pada separuh pertama 2022 akan dikurangkan (walaupun tidak sepenuhnya) dengan meningkatkan permintaan produk O&G ekoran pembukaan semula ekonomi di peringkat global.

 

"Selain itu, program OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran minyak secara beransur-ansur kepada 400,000 tong sehari sebulan dan menghentikan sepenuhnya menjelang September 2022 turut akan membantu menstabilkan harga minyak pada AS$70 hingga AS$75 setong," jelasnya. - DagangNews.com