HLIB unjur hasil TNB bagi FY22-FY23 kekal kukuh | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur hasil TNB bagi FY22-FY23 kekal kukuh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM11.65 sesaham memandangkan hasil syarikat utiliti itu kekal kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23. 

 

Firma itu positif terhadap komitmen jangka panjang TNB untuk berkembang dalam agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), di samping memastikan pulangan kepada pemegang saham. 

 

Menurutnya, terdapat beberapa projek hijau telah diluluskan termasuklah penjanaan semula Paka dengan 1,400MW (beroperasi menjelang 2029) dan CCPP Kapar baharu dengan 2,100MW (beroperasi pada 2021), dikuasakan oleh gabungan gas dan hidrogen, dengan gabungan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM15.8 bilion.

 

Katanya, TNB juga sedang meneroka peranangan yang sama untuk Manjung1-3 (masih di peringkat awal) manakala projek hidro Nenggiri dengan 300MW (beroperasi menjelang 2027) dan lanjutan hayat Sungai Perak dengan 650.75MW (beroperasi menjelang 2025) telah menggabungkan capex sebanyak RM10.8 bilion.

 

"Selain itu, TNB Selambau LSS dengan 50MW (beroperasi menjelang 2023) juga telah menerima tambahan empat tahun lanjutan kepada tempoh PPA. 

 

"Kumpulan itu juga telah memperoleh loji solar medan hijau 100MW di United Kingdom (UK). Projek-projek ini dianggarkan untuk mengelakkan pelepasan 9.83 juta tan karbon dioksida (tCO2-e) setahun," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada masa sama, TNB juga melaksanakan pelaburan berterusan untuk memodenkan grid bagi menyokong peralihan tenaga dan penghantaran dalam mengukuhkan keselamatan kuasa dan hubungan antara serantau.

 

Melalui anak syarikatnya, GSPARK Sdn. Bhd., TNB terus memperoleh projek yang semakin meningkat untuk penyelesaian solar atas bumbung, berjumlah 125MWp setakat ini, kerana unit itu bekerjasama dengan pelbagai pemaju hartanah, pengguna komersial dan industri.

 

TNB juga melabur dalam kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama Gamuda Land dan lebuh raya PLUS.

 

Menurut HLIB, pengurusan menunjukkan potensi dividen pada julat yang lebih tinggi daripada dasar pembayaran dividen 30 hingga 60% (berdasarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti-PATAMI diselaraskan) berdasarkan kepada prospek aliran tunai yang semakin baik pada separuh kedua FY22.

 

"Ini berkemungkinan akan melibatkan 45 hingga 50 sen sesaham untuk tahun tersebut (20 sen sesaham untuk separuh pertama FY22)," katanya.

 

Firma itu berkata, TNB juga yakin kerajaan baharu akan terus menghormati mekanisme ICPT (seperti yang telah dilaksanakan sejak dilaksanakan pada 2014) dan TNB akan dapat mendapatkan semula jumlah keseluruhan dalam tempoh enam bulan.

 

Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, TNB merekodkan keuntungan selepas cukai dan dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) teras sebanyak RM4 bilion, sejajar dengan jangkaan HLIB tetapi mengatasi unjuran pasaran. 

 

Hasil bagi tempoh itu menyerlahkan kemampanan pendapatan kumpulan di bawah RP3 walaupun kos bahan api meningkat, dengan kumpulan itu mengiktiraf ICPT sebanyak RM15.2 bilion.

 

"Penurunan 4.4% tahun ke tahun bagi pendapatan teras disebabkan oleh perbelanjaan kewangan bersih yang lebih tinggi, sumbangan syarikat bersekutu yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi," katanya.

 

Setakat 10.01 pagi, harga saham TNB menokok 12 sen atau 1.31% kepada RM9.27 dengan 682,200 saham diniagakan. - DagangNews.com