KUALA LUMPUR 24 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan kejayaan IJM Corporation Bhd meraih dua projek baru-baru ini membuka laluan yang lebih jelas kepada kumpulan mencapai sasaran penambahan kontrak kerja sebanyak RM5 bilion.
Katanya, kumpulan itu mengumumkan kemenangan sulung kedua-dua kontrak bernilai RM962.3 juta bagi FY25 menjadikan buku pesanan mereka kepada RM7 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tersebut adalah bagi pembinaan gudang dan kemudahan pembuatan semikonduktor.
HLIB berkata, mereka kini melihat laluan yang lebih jelas ke arah sasaran mencapai RM5 bilion menerusi pelbagai kontrak baharu termasuk Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) 2.0, Nusantara PFI dan pusat data (DC).
"Projek lain seperti lebuh raya di India, bangunan perindustrian selain projek infrastruktur yang akan datang seperti LRT Pulau Pinang, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan infra Johor sepatutnya meningkatkan prospek kumpulan.
"Walaupun IJM telah ketinggalan dari segi penglibatan dalam DC tetapi ia masih dalam kemampuannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Secara keseluruhan, HLIB masih melihat peluang dagangan di IJM memandangkan potensi untuk lebih banyak kemenangan kontrak.
Bagaimanapun, ia berkata risiko termasuk syarat penstrukturan semula yang tidak menguntungkan, harga bahan mentah tinggi berpanjangan dan kekurangan tenaga kerja.
HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM3.50 sesaham. - DagangNews.com