HLIB yakin DNex miliki kedudukan kukuh dalam segmen semikonduktor dan tenaga huluan | DagangNews Skip to main content

HLIB yakin DNex miliki kedudukan kukuh dalam segmen semikonduktor dan tenaga huluan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 19 Jan -  Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan pada Dagang Nexchange (DNeX) dengan saranan BELI dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.35/saham. 

 

Firma penganalisis itu berpendapat, secara keseluruhannya, DNeX mempunyai kedudukannya yang kukuh dalam kedua-dua semikonduktor dan segmen tenaga huluan.

 

Ujarnya, berikutan beberapa latihan korporat dalam 1HCY21 yang membawa kepada pasukan pengurusan dan hala tuju perniagaan baharu, DNeX telah mengubah dirinya menjadi pemain bahagian hadapan semikonduktor dan pengeluar minyak dan gas huluan di rantau Laut Utara United Kingdom. 

 

"Kami menganggap sejarah prestasi kewangankumpulan sebagai gambaran pramatang prestasi masa depannya kerana kumpulan itu telah membawa pasukan pengurusan baharu bersama-sama dengan pemerolehan aset baharu iaitu 60% daripada SilTerra pada 26 Julai 2021 dan tambahan 60% daripada Ping Petroleum pada 30 Jun 2021, yang mana keuntungan hanya akan ditunjukkan pada FY22 dan seterusnya.

 

"Kami mengunjurkan teras PATAMI DNeX untuk berkembang kepada RM155.2 juta, RM197.8 juta dan RM271.5 juta masing-masing untuk FY22-24F, mewakili CAGR sebanyak 32%," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, unjuran itu akan didorong oleh pengambilalihan 60% SilTerra yang telah dimuktamadkan pada Julai 2021; kenaikan harga purata jualan (ASP) oleh SilTerra dan eningkatan pegangan dalam Ping Petroleum kepada 90% daripada 30% sebelumnya.

 

HLIB Research berkata, berdasarkan penyelidikannya, SilTerra Malaysia mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) masing-masing sebanyak -RM20.2 juta, -RM172.1 juta dan -RM64.6 juta pada FY18-20. 

 

"Namun selepas pemerolehan oleh DNeX dan CGP, SilTerra telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM21.2 juta dalam masa 2 bulan sahaja (Ogos-Sept 2021). 

 

"Kami mengunjurkan keuntungan bersih FY22- 24F SilTerra untuk berkembang lagi kepada RM158.6 juta, RM202.3 juta dan RM223.0 juta, masing-masing mewakili CAGR FY22-24F sebanyak 19%," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu juga menyasarkan untuk menerokai campuran produk yang dipertingkatkan secara menegak iaitu Silicon Photonics dan MEMS, yang akan meningkatkan margin keuntungan sebanyak tiga kali ganda. -DagangNews.com