Honda Malaysia catat peningkatan jualan 60% kepada 39,000 kenderaan pada separuh pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia catat peningkatan jualan 60% kepada 39,000 kenderaan pada separuh pertama 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa syarikat telah menjual lebih daripada 39,000 unit antara Januari hingga Jun 2022, peningkatan sebanyak 60% berbanding tempoh sama pada 2021. 

 

Prestasi cemerlang meletakkan syarikat di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan 2022 sebanyak 80,000 unit. Pada 30 Jun 2022, Honda Malaysia menyumbang 12% kepada jumlah keseluruhan industri (TIV).

 

Daripada jumlah unit yang dijual pada separuh pertama 2022, Honda Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi jualan pada bulan Mac dengan lebih daripada 10,500 unit terjual. 

 

Daripada segi prestasi jualan mengikut model, City adalah model terlaris, menyumbang 39% kepada jumlah jualan, diikuti City Hatchback dan Civic masing-masing pada 23% dan 18%. 

 

City, City Hatchback, Civic dan Accord, terutamanya adalah kereta bukan nasional nombor satu dalam segmen masing-masing mulai Januari hingga Mei 2022.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, syarikat memulakan 2022 dengan penuh semangat dengan pelancaran Civic pada bulan Januari, yang meninggalkan kesan kuat dalam pasaran dengan ciri-ciri menarik dan premium. 

 

"Baru-baru ini pada bulan Julai,kami mengekalkan momentum dengan pelancaran SUV kompak popular kami, HR-V serba baharu. Sejak pelancarannya, ia menampilkan gaya luar biasa dan teknologi canggih mendapat sambutan luar biasa daripada pasaran. 

 

 

honda

 

 

"Penerimaan positif terhadap model Honda membantu meningkatkan prestasi jualan kami tahun ini. Kami melihat permintaan tempahan yang tinggi dalam tempoh sehingga akhir pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022, yang mana lebih 105,000 tempahan diterima dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini," katanya.

 

Honda Malaysia menghargai sokongan Kerajaan Malaysia untuk melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan dikecualikan cukai jualan hingga 31 Mac 2023. 

 

 

honda

 

 

Syarikat sedang bekerja untuk memastikan bahawa kereta baharu dihantar kepada pelanggan tepat pada masanya mengekalkan kualiti tertinggi. 

 

Honda Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan, kesabaran dan pemahaman yang tidak berbelah bahagi. - DagangNews.com