Honda Malaysia sasar jualan 80,000 kenderaan pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Honda Malaysia sasar jualan 80,000 kenderaan pada tahun ini

Madoka Chujo berucap pada majlis penghargaan kepada media massa di Kuala Lumpur, pada 17 Februari 2022.

KUALA LUMPUR 18 Feb - Honda Malaysia Sdn Bhd telah menyasarkan untuk menjual 80,000 kenderaan tahun ini, berdasarkan unjuran syarikat itu berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 600,000 unit.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, Honda Malaysia berasa  yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan strategi untuk 2022, yang merangkumi  dua model baharu yang bakal diperkenalkan termasuk mengukuhkan lagi perkhidmatan selepas jualannya.

 

Tahun lepas kata beliau, Honda Malaysia menjual 53,031 unit dan menyumbang 10.4 peratus daripada TIV.

 

"Wilayah tengah menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jualan pada 2021 dengan lebih daripada 25,000 unit terjual, diikuti dengan wilayah selatan dan wilayah utara dengan masing-masing, lebih daripada 9,800 dan 9,100 unit yang dijual," katanya pada majlis penghargaan media di sini malam tadi.

 

Madoka berkata, Honda Malaysia merancang untuk memperluaskan teknologi e: HEV RS kumpulan itu yang unik dalam barisan model masa depan syarikat serta dan menawarkan model yang memberikan ekonomi bahan api yang sangat baik termasuk pelepasan karbon yang rendah tetapi masih bersifat “sporty” dan menyeronokkan untuk dipandu.

 

Menurutnya, teknologi e: HEV telah diperkenalkan melalui model City dan City Hatchback yang baharu.

 

“Model tersebut telah menarik perhatian dan minat awam selain mencipta satu cadangan nilai baharu dalam kenderaan hibrid,'' ujarnya.

 

Syarikat itu juga sedang meneroka ke dalam perniagaan kereta terpakai Honda yang diperakui untuk memberikan opsyen kepada pelanggan dalam membeli kereta Honda idaman mereka. - DagangNews.com