Hong Leong Islamic Bank, Andalusia jalin kerjasama strategik sedia pembiayaan tunai umrah | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Islamic Bank, Andalusia jalin kerjasama strategik sedia pembiayaan tunai umrah

Dafinah Ahmed Hilmi (empat, kanan) dan Ida Riswana Idris (tiga, kiri) selepas memeterai MoU antara Hong Leong Islamic Bank dan Andalusia di ibu negara pada 17 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Hong Leong Islamic Bank (HLISB) dan Andalusia Travel & Tours memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik menyediakan kemudahan pembiayaan bagi menunaikan umrah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, kerjasama itu membolehkan umat Islam yang merancang ziarah umrah untuk membiayai perjalanan mereka mengikut prinsip syariah dengan menggunakan tawaran kewangan HLISB, khususnya Pembiayaan Peribadi-i dan Akaun Pay & Save-i. 

 

Beliau berkata, pihaknya komited untuk membentuk rumusan kewangan yang memenuhi gaya hidup pelanggan masing-masing, selaras dengan janji kami untuk menjadi bank yang berpusatkan keperluan pelanggan. 

 

Katanya, dalam mengembangkan keupayaan syariah, pihaknya ingin menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif yang memastikan pelanggan Islam tidak perlu bimbang dan risau dalam memenuhi kewajipan agama mereka.

 

"Komitmen ini juga dilanjutkan kepada usaha kami dalam menyediakan akses digital yang komprehensif melalui platform perbankan mudah alih, memudahkan pembayaran zakat dalam talian, dan membentangkan peluang pengurusan kekayaan melalui Akaun Pelaburan Berjangka-i dan pembiayaan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

 

"Didorong falsafah mengetengahkan pelanggan, kerjasama dengan Andalusia menandakan satu langkah penting ke arah menyampaikan nilai tambah kepada pelanggan. 

 

"Kerjasama strategik ini dapat menangani keperluan pelanggan secara aktif, memperkasakan umat Islam menunaikan kewajipan agama mereka dengan lancar," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, Pengarah Andalusia, Ida Riswana Idris pula berkata, kerjasama itu boleh mendatangkan faedah kepada semua pihak dengan memanfaatkan pangkalan pelanggan yang besar.

 

"Kerjasama dengan HLISB ini memastikan pelanggan kami mendapat akses kepada pembiayaan ibadah umrah yang patuh syariah, digital dan harga berpatutan dengan rangkaian alat dan perkhidmatan kewangan yang holistik.

 

"Kami percaya bahawa ini akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan mereka dengan berkesan dalam era digital hari ini, sambil menunaikan kewajipan agama mereka dengan asas kewangan patuh syariah," katanya.

 

Menurut HLISB, sebagai sebahagian daripada kerjasama HLISB dengan Andalusia, bank menawarkan Akaun Pay & Save-i dan Pembiayaan Peribadi-i kepada semua yang ingin menunaikan ibadah umrah.

 

Katanya, Pembiayaan Peribadi-i HLISB menawarkan pembiayaan patuh syariah kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan agama mereka, yang disertakan dengan rebat untung 'Bayar Tepat Masa' sebanyak 60% dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya.  - DagangNews.com