KUALA LUMPUR 5 Mac - Pakar pengurusan rantaian bekalan industri penjagaan kesihatan Hong Seng Consolidated Bhd telah membatalkan rancangannya untuk mengambil alih 51% kepentingan dalam syarikat penyedia teknologi kesihatan Pow Pocket Sdn Bhd.
Menurut pemberitahuannya di bursa pada 4 Mac, pemegang saham utama Hong Seng dan Pow Pocket Russell Walter Boyd menandatangani surat penamatan pada hari Jumaat, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perjanjian (HoA) mereka sebelum ini.
Hong Seng berkata ini kerana kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kata sepakat berhubung pertimbangan pembelian untuk cadangan pemerolehan 51% kepentingan dalam Pow Pocket.
Pow Pocket ialah sebuah syarikat Malaysia dengan perniagaan utamanya dalam pegangan pelaburan untuk perkhidmatan kewangan dan aktiviti perniagaan berkaitan teknologi kesihatan.
Pada 8 Okt 2021, unit Hong Seng HS Bio Sdn Bhd telah memeterai HoA dengan Russell untuk cadangan pengambilalihan bernilai RM200 juta, bagi mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatannya.
Selepas itu, pada 7 Dis 2021, kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh eksklusif HoA selama tiga bulan lagi kepada 8 Mac 2022, selepas HS Bio masih belum melengkapkan usaha wajarnya di Pow Pocket.
Dengan urus niaga yang gagal sekarang berikutan penamatan bersama, Hong Seng berkata kedua-dua pihak tidak akan mempunyai sebarang tuntutan lanjut terhadap pihak lain untuk kos, ganti rugi atau pampasan akibat daripada penamatan itu.
"Kedua-dua pihak dengan ini membebaskan satu sama lain daripada melaksanakan dan mematuhi semua kewajipan dan perjanjiannya di bawah HoA.
"Pemberhentian bersama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 30 Sept 2022," tambahnya.
Ketika pasaran bursa ditutup 4 Mac 2021, saham Hong Seng ditutup dua sen atau 0.65% lebih tinggi pada RM3.11, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM7.94 bilion. - DagangNews.com