IPOH 26 Julai - Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dengan kerjasama Care Clinic telah menganjurkan Bengkel Penjagaan Utama Ipoh kepada pengamal perubatan am.
Bengkel ini merangkumi segala teknik, garis panduan, peralatan dan kemahiran-kemahiran teknologi baharu dalam jabatan ortopedik serta kemahiran ultrasound abdomen.
Ia dihadiri seramai 45 pengamal perubatan am dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Alor Setar yang bertugas di hospital kerajaan dan swasta.
Sesi bengkel dikendalikan dua orang doktor pakar dari PCSH iaitu pakar bedah tulang, Dr. Janarthan dan pakar radiologi Dr. Subashini.
Walaupun dalam era digital ketika ini banyak menawarkan sumber maklumat seperti podcast, PubMed, YouTube dan sebagainya, namun pembelajaran secara berhadapan adalah yang terbaik.
Menerusi perkongsian daripada pakar-pakar ini, para peserta dapat bertanya secara langsung.
Bengkel ini dijalankan secara interaktif semasa sesi 'hands-on' menggunakan empat mesin ultrasound dengan pesakit sebenar sebagai model yang merangkumi pemeriksaan lutut dan bahu.
Dengan pembelajaran dan pemerhatian secara langsung, para peserta mendapat pendedahan yang mendalam tentang aspek prosedur yang lebih jelas.
Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan berkata, pengetahuan dan kemahiran dalam profesion perubatan kini berubah secara dinamik.
Sehubungan itu katanya, pembelajaran dan pembangunan berterusan penting untuk memastikan penjagaan kesihatan berkualiti sejajar dengan trend terkini dan teknologi termaju.
"Kami percaya sesi perkongsian dua orang doktor pakar ini telah menyampaikan kemahiran teknikal dan kemahiran bukan teknikal yang berharga kepada para peserta.
"Bagi pihak PCSH, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Care Clinic kerana menganjurkan bengkel yang sangat bermanfaat ini," ujarnya. - DagangNews.com