Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Program Anti-Pemalsuan dan Penipuan (ACF) HP Inc. telah merampas sehingga AS$2.5 juta (anggaran RM10.4 juta) bekalan palsu dan menghapuskan lebih 12,800 laman web sejak tujuh bulan lalu.
Kedua-dua aktiviti membanteras itu melibatkan Malaysia, Indonesia, Korea, Filipina, Thailand, Vietnam dan Singapura.
HP dalam satu kenyataan berkata, di Malaysia sahaja, bekalan palsu yang dirampas bernilai AS$91,681 (anggaran RM381,530) dengan 459 laman web beli-belah dihapuskan.
“Ketika pelanggan beralih ke pembelian dalam talian, risiko berkaitan telah meningkat. Bagi memperkukuh perlindungan dan sokongan rakan dalam talian dan pelanggan HP, syarikat telah melanjutkan usaha ACF ke ruangan runcit dalam talian.
“Perdagangan barangan palsu dan cetak rompak kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mewakili sekurang-kurangnya 3.3% daripada dagangan global,” kata HP.
Di Asia Tenggara, rangkaian barangan palsu diniagakan di pasaran gelap oleh sindiket jenayah melibatkan produk dakwat mesin pencetak sehinggalah bahagian kenderaan, beg tangan dan alcohol bernilai AS$35.9 bilion setiap tahun.
“Bagi mengenalpasti penjual barangan palsu, HP melihat jutaan halaman produk dalam talian di seluruh Asia Tenggara dan Korea Selatan, memeriksa menggunakan imej hak cipta, tanda dagangan dan pengecaman unik lain.
“Sejak November 2019 hingga Mei 2020, lebih 12,800 senarai dibuang dari Asia Tenggara dan Korea Selatan,“ tambah HP.
Antara kaedah untuk mengesahkan produk asli HP adalah menerusi imbasan kod QR pada bungkusan produk, kenal pasti produk secara dalam talian menggunakan nombor siri di pautan hp.com/go/ok dan condongkan label keselamatan untuk melihat imej holografik. – DagangNews.com