HPK merupakan program advokasi kepada pengguna terhadap hak mereka | DagangNews Skip to main content

HPK merupakan program advokasi kepada pengguna terhadap hak mereka

KUALA LUMPUR 26 Mac - Penganjuran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak 2001 merupakan program advokasi berterusan dalam memberikan kesedaran kepada pengguna terhadap hak-hak mereka.

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada tahun ini penganjurannya telah dimulakan di seluruh negara dengan pelaksanaan Mini Karnival HPK mengikut Zon iaitu Zon Tengah, Utara, Selatan, Timur, Sabah termasuk Labuan dan Sarawak yang bermula pada bulan Februari 2022.

 

Beliau berkata, sambutan HPK pada tahun ini lebih bermakna kerana kerajaan telah mengisytiharkan Mac sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan.

 

"Pemilihan tema Digitalisasi Pengguna pada tahun ini adalah selaras dengan perubahan trend pengguna ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital," katanya pada majlis perasmian HPK di Nu Sentral, hari ini.

 

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan  Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

 

Alexander berkata, pada tahun ini sebelum berlangsungnya HPK, pihaknya menganjurkan Program Pendayaupayaan Pengguna Melalui Medium Pengangkutan Awam yang diadakan pada 16 Mac 2022 dengan kerjasama pihak Mass Rapid Transit (MRT) yang bertempat di Stesen MRT Kajang, Selangor. 

 

Katanya, program itu merupakan inisiatif hebahan maklumat kepada pengguna yang memberi fokus kepada hal perlindungan kendiri daripada amalan perniagaan yang tidak beretika. 

 

"Kesedaran seumpama ini adalah bertepatan dengan peralihan urusniaga konvensional kepada platform digital dengan pengguna lebih terdedah kepada risiko 
penipuan atas talian," katanya. - DagangNews.com