HRD Corp lancar NHCCE 2022, jalin kerjasama dengan LinkedIn | DagangNews Skip to main content

HRD Corp lancar NHCCE 2022, jalin kerjasama dengan LinkedIn

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melancarkan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2022, yang menampilkan lebih 200 pempamer daripada pelbagai industri di Pusat Pameran Dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

 

Lebih 2,300 delegasi akan menghadiri enam trek sesi perbincangan yang dikendalikan 30 penceramah tempatan dan antarabangsa yag terkemuka.

 

Antaranya, Presiden Capital A (Ventures), Aireen Omar yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia; Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer; Pengasas XYZ@Work, Singapura, Rachele Facordi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Global di HSBC, Neeti Mahajan.

 

Pengerusi HRD Corp, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, pihaknya komited untuk menyokong pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia dengan mengurangkan pengangguran dan mengukuhkan kumpulan bakat mereka. 

 

Beliau berkata, ia terbukti dengan penurunan kadar pengangguran, yang kini berada pada 3.7%. 

 

"Kami akan terus mendahului dengan mengembangkan peluang peningkatan kemahiran dan kemahiran semula dalam talian melalui perkongsian kami dengan LinkedIn, platform perangkaian dan pembelajaran profesional global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Linkedln Malaysia, Rohit Kalsy berkata, pihaknya komited untuk berdiri bersama HRD Corp dan menyokong negara dan perniagaannya untuk menangani sebarang jurang kemahiran dan cabaran tenaga kerja, supaya mereka boleh membangun, menarik dan mengekalkan bakat terbaik. 

 

 

hrd
Sesi pertukaran MoU antara Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood (kanan) dan Rohit Kalsy (kiri), sambil disaksikan oleh Datuk Seri Jamil Salleh

 

 

"Komitmen kami adalah untuk akhirnya memperkasakan setiap perniagaan dan bakat Malaysia dengan alat dan keupayaan yang betul dan menjadi rakan kongsi dihargai dalam daya tahan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan," katanya.

 

Semasa pelancaran tersebut, HRD Corp turut mengadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan rangkaian profesional terbesar di dunia, LinkedIn. 

 

Kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan langkah Malaysia ke arah ekonomi berasaskan kemahiran dengan membantu pekerja mereka meningkatkan kemahiran semula dengan latihan dalam talian. 

 

Kursus Pembelajaran Linkedin akan disediakan di platform e-LATiH HRD Corp pada kadar yang lebih rendah untuk majikan berdaftar HRD Corp.

 

LinkedIn juga akan menyokong HRD Corp untuk menggalakkan penggunaan levi yang lebih besar dalam kalangan majikan berdaftarnya dengan menyediakan data dan pandangan mengenai masa depan pekerjaan, trend penempatan pekerjaan dan keperluan kemahiran semasa oleh industri. - DagangNews.com