HS Bio meterai perjanjian peroleh 51% ekuiti Pow Pocket | DagangNews Skip to main content

HS Bio meterai perjanjian peroleh 51% ekuiti Pow Pocket

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, HS Bio Sdn Bhd (HS Bio), telah menandatangani Perjanjian Induk (HoA) berhubung cadangan pemerolehan 51% kepentingan ekuiti Pow Pocket Sdn Bhd (Pow Pocket) dengan jumlah pertimbangan pembelian yang dicadangkan sebanyak RM200 juta.

 

Pengerusi Bukan Eksekutif Hong Seng, Dato' Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, kumpulan percaya cadangan pemerolehan ini merupakan langkah strategik untuk bekerjasama secara eksklusif dan memperkukuhkan sinergi dengan anak syarikat kesihatannya yang lain. 

 

"Selain itu, ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan HS Bio untuk memajukan perniagaan penjagaan kesihatannya dan memperdalamkan kemampuannya dalam HealthChain yang sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), iaitu dalam tujuannya untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan memanfaatkan teknologi, termasuk digitalisasi perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan keupayaan penyelidikan, pembangunan dan inovasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pow Pocket adalah sebuah syarikat dengan perniagaan utamanya adalah pegangan pelaburan untuk aktiviti perniagaan berkaitan teknologi kesihatan. 

 

Pow Pocket kini mengendalikan Jengu, yang mana merupakan enjin kesihatan digital berasaskan web yang didedikasikan untuk pemeriksaan, vaksinasi, dan kesihatan digital COVID-19. 

 

Selain itu, Pow Pocket juga mengendalikan portal ImmuPlan, platform digital eksklusif untuk pelancaran vaksinasi awam dan swasta di negeri Johor di bawah bimbingan Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation.

 

Dalam perkembangan lain, program waksinasi swasta nasional, Immunise diumum menjadi platform terbuka dan inklusif yang bertujuan untuk memenuhi permintaan untuk suntikan booster dan vaksinasi remaja di negara ini.

 

Pengarah Urusan Pow Pocket, Russell Walter Boyd berkata, platform Immunise akan merangkumi dari tempahan secara dalam talian dan penjadualan vaksin, hingga pengurusan pesanan peringkat akhir, penghantaran vaksin fizikal & rangkaian sejuk, pembayaran balik, penyesuaian dan penginvoisan, papan pemuka dan pelaporan KPI. 

 

"Kami kini beralih dari vaksin dewasa kepada suntikan remaja dan booster, memudahkan permintaan berulang untuk penghantaran vaksin yang dilokalitikan dan dikhususkan," katanya. -DagangNews.com