HSBC bantu kukuhkan Valiram dalam pasaran digital ASEAN | DagangNews Skip to main content

HSBC bantu kukuhkan Valiram dalam pasaran digital ASEAN

HSBC Bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) memanfaatkan kelebihannya sebagai institusi perbankan yang kukuh di rantau ini dengan membantu syarikat tekstil dan fesyen, Valiram meluskan lagi jaringan pasarannya di Kuala Lumpur.

Usaha tersebut sekali gus membuka ruang untuk Valiram mencipta nama dan muncul sebagai peneraju dan peruncit gaya hidup mewah yang terkemuka di Asia Tenggara.

Ketua Negara Perbankan Korporat HSBC Malaysia, Karel Avni Doshi berkata, pihaknya menghargai kehadiran Valiram sebagai pelanggan jangka masa panjangnya yang telah menjalin kerjasama hampir 40 tahun.

“Kerjasama dan perkongsian yang kukuh ini dilihat berdasarkan sokongan HSBC kepada Valiram yang mencapai potensi pertumbuhan luar biasa pada tahun 2006 di peringkat ASEAN, lebih-lebih lagi ketika Valiram meningkatkan perniagaan e-dagangnya katika ini.

“Dengan kelebihan portfolio yang mantap, kami memiliki kemampuan yang tepat untuk menawarkan bentuk perkhidmatan yang diperlukan oleh Valiram dalam memperkembangkan e-dagangnya di rantau ASEAN,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Karel Avni Doshi
Karel Avni Doshi

 

HSBC telah menjalin kerjasama dengan Valiram sejak tahun 1982 ketika Valiram mula menjalankan aktiviti import barangan perhiasan mewahnya.

HSBC menjadi bank pertama yang mampu memberi dan memenuhi syarat yang diletakkan oleh Valiram bagi membiayai pembayaran pendahuluan kepada pembekal seperti kredit pusingan, pinjaman perdagangan, jaminan bank, pertukaran mata wang asing di negara lain dan pelbagai lagi.

Sejak penularan wabak COVID-19, Valiram mula meluaskan jaringan pemasarannya melalui platform e-dagang.

Valiram turut menggerakkan inisiatif 247 iaitu kemudahan pembelian 24 jam selama tujuh hari (seminggu) kepada penggunanya.

Sharan J Valiram
Sharan J Valiram

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Valiram, Sharan J Valiram berkata, pihaknya tidak pernah membayangkan HSBC akan memainkan peranan yang begitu penting dalam memacu perniagaannya.

“Kami tidak pernah membayangkan sepanjang perjalanan perniagaan kami bahawa rakan perbankan akan memainkan peranan penting dalam membantu kami memacu perniagaan daripada peruncitan tradisional hingga ke omni-channel,” jelasnya.

HSBC memainkan peranan lebih dari 130 tahun untuk membantu dan menyokong syarikat Malaysia seperti Valiram dengan menghubungkan syarikat berkenaan dengan peluang perniagaan yang lebih besar. - DagangNews.com