HSS teroka peluang pendapatan dalam industri 5G dan pusat data | DagangNews Skip to main content

HSS teroka peluang pendapatan dalam industri 5G dan pusat data

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Syarikat pengurusan projek dan kejuruteraan, HSS Engineers Berhad (HEB) ‘mengintai’ peluang dalam bidang teknologi dan digital sebagai strategi kepelbagaian hasil kumpulan. 

 

Langkah berkenaan akan tertumpu kepada segmen pusat data dan sektor telekomunikasi bagi menyokong aspirasi ekonomi digital negara, 5G. 

 

Naib Pengerusi Eksekutif HEB, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, kepakaran kumpulan dalam pengurusan projek boleh dialihkan kepada sektor lain yang mempunyai pertumbuhan tinggi. 

 

“Hingga kini, kami sedang meneroka peluang dalam sektor digital dan teknologi, tertumpu kepada bidang pusat data dan telekomunikasi 5G, sebagai menyokong fokus kerajaan untuk mempercepatkan ekonomi digital ekoran pandemik COVID-19.

 

“Kami telah memulakan pendekatan kerjasama dengan pakar pusat data utama global untuk merebut peluang kejuruteraan dan pengurusan projek di Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

“Dalam masa sama, kami memanfaatkan pengalaman Perundingan Pengurusan Projek (PMC) untuk merebut peluang secara langsung dengan Digital Nasional Berhad (DNB) dalam melancarkan 5G di seluruh negara dengan jayanya,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi HEB, memandangkan kerajaan Singapura melaksanakan moratorium bagi penubuhan pusat data baharu kerana kekurangan tenaga dan tanah, negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia dijangka menerima manfaat daripada kesan limpahan permintaan berkenaan. 

 

Kata kumpulan itu, sektor pusat data di Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan hasil lebih daripada AS$800 juta menjelang tahun 2030. 

 

Dalam pada itu, statistik industri juga menjangkakan pasaran pusat data di Asia Tenggara akan berkembang sebanyak 14% dari segi kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) kepada AS$3.5 juta dalam tempoh sedekad akan datang.

 

Tambah Sittampalam, pengalaman luas HEB dalam mengendalikan projek berskala besar dan kritikal berkaitan industri perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek telah membentuk asas kukuh terhadap prestasi serta keupayaan kumpulan. 

 

Sebagai rekod, kerajaan telah memberi mandat kepada DNB untuk melaksanakan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM15 bilion. 

 

Di peringkat HEB pula, termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo, kumpulan menyaksikan buku pesanannya kini mencecah RM574.0 juta yang dijangka mengekalkan perolehan sehingga tempoh dua hingga lima tahun akan datang. 

 

Buku tender HEB pula berada pada kadar RM280 juta setakat 31 Mac 2021. - DagangNews.com