Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Malaysia menerusi Kementerian Luar masih memantau pemerintahan di Amerika Syarikat (AS) untuk mempertimbangkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencadangkan sedikit masa perlu diberikan untuk AS menstabilkan keadaan politik.
“Perkembangan di atas pemerintahan (di AS) baru-baru ini, kita masih lagi memantau.
“Sekarang ini berikan masa sedikit untuk stabil keadaan politik di sana, selepas itu, melalui kedutaan AS, usaha-usaha untuk merintis hubungan kita (kerjasama AS-Malaysia) akan diteruskan secara berperingkat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung pandangan rasmi Kementerian Luar apabila Joe Biden dilantik sebagai Presiden AS dan impaknya ke atas pergolakan di negara-negara Timur Tengah.
Biden yang memenangi pilihan raya Presiden AS secara rasmi telah memulakan peralihan tampuk kerajaan persekutuan pada dua hari lepas.
Peralihan itu berlaku setelah Donald Trump mengalah untuk mengemukakan bukti sah bagi membatalkan pilihan raya berkenaan sehingga berlanjutan untuk beberapa minggu.
Pemerintahan Biden diharapkan menawarkan dasar kewangan yang lebih baik dan longgar, berbeza dengan pentadbiran Trump.
Salah satunya adalah suntikan fiskal dan pakej rangsangan negara itu untuk memacu pemulihan ekonomi AS selepas terjejas akibat penularan COVID-19.
Di seluruh dunia, China yang masih menyandang ekonomi kedua terbesar dunia menjadi satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi ketika pandemik COVID-19.
Ini mungkin memberi ‘tamparan’ hebat buat AS sebagai ekonomi terbesar dunia.
Untuk rekod, selain hubungan kerjasama dengan negara-negara ASEAN lain, Malaysia akan menjual sebanyak 1.7 tan minyak sawit kepada China sehingga tahun 2023 setelah negara itu menyatakan komitmen terhadap langkah berkenaan.
Hubungan kerjasama antara Malaysia dan China terus diperkukuh menerusi tandatangan Perkongsian Ekonomi Komprehensi Serantau (RCEP). - DagangNews.com