Hutang isi rumah cecah 93.3% - BNM | DagangNews Skip to main content

Hutang isi rumah cecah 93.3% - BNM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Hutang isi rumah telah meningkat kepada 93.3% pada Disember 2020 berbanding 87.5% setakat Jun 2020, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2020 yang dikeluarkan hari ini. 

 

Ini mencetuskan kebimbangan kerana hutang isi rumah yang tinggi boleh membebankan isi rumah apabila berlakunya krisis, sekali gus boleh membantutkan pemulihan ekonomi.

 

"Bagaimanapun, tiada bukti nyata mengenai perkara ini, dengan pengeluaran sistem perbankan baharu kepada isi rumah mencapai sehingga 112% daripada tahap yang sama bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

"Pengeluaran ini kebanyakannya diberikan kepada peminjam daripada berpendapatan sederhana dan tinggi, yang masih mampu membuat pinjaman," katanya. 

 

 

Sumber : Bank Negara Malaysia
Sumber : Bank Negara Malaysia

 

 

BNM mendapati, peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu terutamanya disebabkan KDNK masih kekal di bawah paras sebelum pandemik COVID-19. 

 

Pertumbuhan hutang isi rumah dinormalisasikan kepada tahap sebelum pandemik pada separuh kedua 2020 apabila negara keluar daripada perintah sekatan yang ketat. 

 

"Bagi peminjam daripada golongan berpendapatan rendah pula, pelbagai langkah dibuat untuk menggalakkan pinjaman berhemah bagi mengelakkan impak kepada kewangan mereka," tambahnya. 

 

Berdasarkan laporan itu, kebanyakan hutang dibuat pada separuh kedua membabitkan kenderaan dan perumahan iaitu berkembang 6.1% dan 7.4% daripada tahun sebelumnya. 

 

Ini disokong oleh insentif pengurangan cukai jualan dan perkhidmatan bagi pembelian kenderaan dan pemilikan rumah. 

 

Selain itu, pembiayaan peribadi juga merekodkan peningkatan tahunan yang tinggi iaitu 7.1% terutamanya disebabkan penangguhan pembayaran semula ketika tempoh moratorium automatik. 

 

"Kejutan yang berlaku baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya isi rumah mempunyai simpanan ketika masa masih lagi baik. 

 

"Simpanan ini membolehkan isi rumah mengharungi tempoh sukar dan mengurangkan kesan terhadap penggunaan dan hutang," katanya. 

 

Bank pusat itu berkata, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan juga mengalami tekanan kewangan, kurang simpanan dan leveraj yang tinggi. 

 

Malah, yang berpendapatan kurang RM5,000 juga berdepan situasi yang sama, berdasarkan profil isi rumah yang memohon bantuan bayaran semula. 

 

"Peminjam-peminjam ini dijangka berdepan cabaran tahun ini dengan mengambil kira pemulihan yang tidak menentu dalam pasaran buruh. 

 

"Bagaimanapun, bank kekal utuh menghadapi risiko daripada sektor isi rumah walaupun di bawah senario yang mengambil kira kadar pengangguran tinggi, telah menjejaskan pinjaman isi rumah," katanya. - DagangNews.com