Hutang Malaysia dijangka naik akibat COVID-19, kata Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Hutang Malaysia dijangka naik akibat COVID-19, kata Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kadar hutang Malaysia dijangka meningkat memandangkan negara melaksanakan pelbagai langkah untuk menyokong perniagaan dan rakyat bagi menangani kejatuhan ekonomi akibat COVID-19.

“Kami menjangkakan defisit Malaysia akan meningkat pada tahun ini,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) kepada CNBC dalam ‘Asia Squawk Box’.

Tambah beliau, defisit fiskal akan mencecah dalam lingkungan 5.8% hingga 6% dan ketika ini, suntikan fiskal berjumlah kira-kira 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Kami sudah tentu masih menumpukan tanggungjawab fiskal. Kadar hutang daripada KDNK kini kira-kira 53%, dan berhenti sehingga 56%. 

“Kami mempunyai kelulusan daripada parlimen untuk mencecah sehingga 60%,” katanya. 

Sebelum ini, Moody’s Investors Service telah memberi amaran berhubung kadar hutang negara sebelum penularan pandemik COVID-19.

Jelas firma itu, beban hutang Malaysia didakwa lebih tinggi daripada negara-negara lain dengan penilaian kredit berdaulat ‘A’.

Kredit itu menilai kelayakan kredit negara dan penilaian ‘A’ bermaksud risiko kredit yang rendah. 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan optimis bahawa ekonomi negara akan berkembang sekitar 5.5% hingga 8% pada tahun hadapan, daripada pertumbuhan negatif tahun ini. 

Bagi tahun 2020, KDNK dijangka berada dalam lingkungan -5.5% hingga -3.5%. - DagangNews.com