Ibraco raih kontrak RM529.8 juta bina Jalan Utama Kedua Sarawak | DagangNews Skip to main content

Ibraco raih kontrak RM529.8 juta bina Jalan Utama Kedua Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 JULAI - Ibraco Berhad telah menerima kontrak bernilai RM529.8 juta untuk membina Jalan Utama Kedua (STR) Sarawak daripada Jabatan Kerja Raya negeri itu.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat tersebut berkata anak syarikatnya, Ibraco Construction Sdn Bhd telah menerima surat setuju terima (LOA) untuk membina dan menyiapkan jambatan Batang Samarahan baharu dan jalan raya berkembar empat lorong JKR R5 Standard baru sepanjang sembilan kilometer (9km) dari Batang Samarahan ke Batang Sadong.

 

Menurut kumpulan itu, tempoh kontrak tersebut adalah 42 bulan bermula 8 Ogos 2023 hingga 7 Februari 2027.

 

Projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Ibraco, tambahnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco, Datuk Chew Chiaw Han berbesar hati dianugerahkan LOA tersebut yang akan meningkatkan lagi kedudukan buku pesanan pembinaannya.

 

“Ini membuktikan rekod prestasi kami sebagai pemain penting dalam industri pembinaan Sarawak dan komitmen berterusan kami kepada para pemegang saham dalam mengembangkan asas pendapatan kami.

 

“Tambahan pula, LOA ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri dan dijangka menyumbang secara positif kepada profil pendapatan Ibraco, sekali gus memberikan syarikat keterlihatan pendapatan yang sihat untuk bergerak ke hadapan,” ujar beliau.  

 

Pada waktu penulisan, saham Ibraco didagangkan pada 57.5 sen, menokok 1 sen atau 1.8% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM314 juta. - DagangNews.com