Ibraco rancang lancar hartanah RM1.1 bilion pada separuh kedua 2023 – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Ibraco rancang lancar hartanah RM1.1 bilion pada separuh kedua 2023 – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Pembangunan hartanah dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan Ibraco Bhd memandangkan ia mempunyai projek berjumlah RM1.1 bilion yang dijadualkan untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun ini (2H23).

 

TA Securities berkata Ibraco memiliki jualan belum dibil bernilai RM267 juta setakat Jun 2023, yang memberikan kumpulan itu keterlihatan pendapatan hampir dua tahun, bersamaan 1.7 kali ganda hasil pembangunan hartanah tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Dalam nota penyelidikan, firma itu berkata Ibraco yakin dapat mencapai sasaran jualan yang disemak semula untuk FY23 sebanyak RM350 juta daripada RM300 juta sebelumnya, disokong oleh jumlah projek yang besar.

 

“Semakan menaik ini disokong oleh perancangan syarikat yang menarik melibatkan projek baharu berjumlah RM1.1 bilion di tiga lokasi di Malaysia dan dijadualkan untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

 

Sebagai contoh, pembangunan pangsapuri servis Ibraco, Horizon Residence di Bintulu, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM94 juta, dikatakan telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 85% sejak pelancaran rasminya pada Mei 2023.

 

Di samping itu, segmen pembinaan kumpulan juga mempunyai prospek pendapatan yang kukuh untuk lima tahun akan datang, memandangkan buku pesanannya berjumlah RM992 juta.

 

Menurut TA Securities, Ibraco berjaya membida kontrak RM530 juta untuk membina sebahagian jalan utama kedua di Samarahan baru-baru ini, yang akan membantu mengukuhkan rekod prestasi kumpulan, susulan penyiapan projek Lapangan Terbang Mukah bernilai RM303 juta dan grid bekalan Sarawak bernilai RM45 juta di Lawas pada 2021.

 

"Kami percaya projek infrastruktur yang telah siap ini menunjukkan kecekapan kumpulan dalam mengendalikan projek pembinaan awam," kata TA Research.

 

Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa walaupun buku pesanan tinggi, Ibraco tetap komited kepada strategi pembidaan aktif dan didapati bahawa syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu secara agresif meneruskan pelbagai projek bangunan dan infrastruktur di sektor awam dan swasta.

 

Tambahnya, walaupun dengan buku pesanan itu, bahagian pembinaannya masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menguruskan kontrak baharu bernilai RM1 bilion.

 

"Ini menunjukkan Ibraco mempunyai sumber mencukupi bagi melaksanakan projek baharu dalam lima tahun akan datang tanpa mengeluarkan perbelanjaan modal tambahan untuk mengembangkan bahagian pembinaan, berdasarkan andaian penambahan kerja tahunan konservatif sebanyak RM200 juta," katanya.

 

Ibraco juga membayangkan bahagian bahan binaannya sebagai komponen pelengkap kepada bahagian hartanah dan pembinaan sedia ada, serta beransur-ansur menjadi tonggak pertumbuhan baharu bagi kumpulan itu.

 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham.

 

Saham Ibraco didagang tidak berubah pada 59 sen pada 4:34 petang hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM322 juta.  - DagangNews.com