Ibraco tolak kaitan penahanan pengarah urusan oleh SPRM | DagangNews Skip to main content

Ibraco tolak kaitan penahanan pengarah urusan oleh SPRM

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Ibraco Bhd menyatakan penahanan reman pengarah urusannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada kena mengena dengan syarikat pemaju hartanah itu.

Dalam pernyataannya kepada Bursa Malaysia, Ibraco menolak kaitan dengan pengarah urusan yang didakwa berlaku tuntutan pembayaran tidak munasabah di dalam projek pembinaan jalan `Jiwa Murni' di Sarawak dari tahun 2010.

"Ibraco dan syarikat-syarikat di bawahnya adalah tidak terbabit sama sekali di dalam projek yang dimaksudkan itu, sama ada secara langsung atau tidak.

"Kami juga tidak ada mendapat apa-apa manfaat daripada projek yang disebut itu," kata Ibraco.

Syarikat pemaju itu berkata, ia akan membuat pengumuman selanjutnya kepada Bursa Malaysia Securities Bhd seandainya ada lagi perkembangan terkini mengenai kes itu.

Menurut laporan SPRM, dua pengarah syarikat bergelar `Datuk' telah ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa berkaitan projek pembinaan jalan bernilai RM800 juta di Sarawak.

SPRM tidak menyatakan nama mereka tetapi dua pengarah yang dimaksudkan itu dipercayai ramai sebagai Datuk Chew Chiaw Han, Pengarah Urusan Ibraco dan Datuk Barry Tan Chong Liang, pengarah Buildcon Sdn Bhd dan Billion Trinity Sdn Bhd. - DagangNews.com