Idris Kechot letak jawatan Pengerusi CCM | DagangNews Skip to main content

Idris Kechot letak jawatan Pengerusi CCM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Bekas Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Idris Kechot meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).

 

Perkara itu diumumkan CCM dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Menurut makluman berkenaan, alasan yang diberikan berhubung peletakan jawatan tersebut adalah apabila cadangan pelepasan 94,449,487 atau 56.32% ekuiti CCM oleh PNB dan AmanahRaya Trustees Berhad telah selesai. 

 

Cadangan pelupusan ekuiti itu telah diumumkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17 November lalu dengan persetujuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Dalam makluman berbeza, CCM turut mengumumkan peletakan jawatan Amizar Mizuar daripada jawatan Pengarah Bebas syarikat itu. 

 

Amizar juga meletakkan jawatan sebagai Jawatankuasa Imbuhan dan Jawatankuasa Pencalonan kumpulan syarikat itu.

 

Dalam masa sama, Zainal Abidin Jamal juga meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bebas dan Ahli Jawatankuasa Risiko CCM.

 

Peletakkan jawatan oleh kedua-dua individu itu atas alasan yang sama. 

 

Kumpulan syarikat itu telah melantik Tan Chee Heng, Dr. Tunku Alina Raja Muhd Alias dan Datuk Lee Hau Hian sebagai Pengarah Bebas baharu.

 

Baca : PNB lupus 56.3% pegangan dalam Chemical Company of Malaysia 

 

Baca : Apabila PNB pula mula jual aset

 

DagangNews.com pada 17 November lalu melaporkan PNB mencapai persetujuan dengan Batu Kawan Berhad (BKB) untuk melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya sebanyak 56.3% dalam CCM dan dana unit amanahnya berjumlah RM292.8 juta.

 

Harga itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran 3 bulan. 

 

Penjualan tersebut akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk baki saham dalam CCM.

 

Jelas PNB, pelupusan itu adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian asetnya untuk mengimbangi portfolio dan konsisten dengan usaha mereka dalam meningkatkan nilai agar dapat memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

 

BKB kemudiannya membuat tawaran rasmi untuk membeli kesemua saham CCM yang tidak dimilikinya pada harga RM3.10 sesaham bernilai RM292.79 juta. 

 

Baca : Batu Kawan buat tawaran rasmi kepada CCM RM3.10 sesaham

 

Itu merupakan harga yang perlu dibayar untuk memperoleh kepentingan dari PNB. 

 

Apabila pengambilalihan itu lengkap, ini bermakna pegangan BKB dalam CCM meningkat kepada 59.73% daripada 3.41% sebelum ini. - DagangNews.com