IGEM 'pintu masuk' pasaran hijau ASEAN, kata Tuan Ibrahim | DagangNews Skip to main content

IGEM 'pintu masuk' pasaran hijau ASEAN, kata Tuan Ibrahim

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia  ke – 11 (IGEM 2020) yang akan berlangsung pada 19 hingga 23 Oktober depan menjadi 'pintu masuk' ke pasaran teknologi hijau ASEAN yang kian maju sekali gus merancakkan pertumbuhan bandar-bandar hijau di seluruh rantau ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,  pelaksanaan IGEM 2020 telah berjaya menarik penyertaan domestik dan antarabangsa yang kuat dalam pelbagai industri dan sektor hijau. 

“Objektif utama IGEM adalah untuk menjadi pintu masuk ke pasaran teknologi hijau ASEAN yang kian maju dan dengan secara tidak langsung merancakkan pertumbuhan bandar-bandar hijau di seluruh rantau ini. 

 

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim Tuan Man

 

“Semenjak diperkenalkan pada tahun 2010, IGEM telah berjaya menghasilkan lebih dari RM30 bilion petunjuk perniagaan dan sehingga kini telah menarik kehadiran lebih dari 490,000 pelawat dan syarikat dari lebih 60 negara. 

“IGEM menerusi maya ini membuka ruang bagi penglibatan oleh semua golongan masyarakat yang dapat dicapai selama 24 jam di mana jua. Ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat umum untuk mengalami sendiri perkembangan dalam bidang teknologi hijau negara yang giat diusahakan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika berucap pada Pra Pelancaran IGEM 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Facebook rasmi Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) hari ini. 

Bertemakan 'Energising Sustainability', objektif utama penganjuran IGEM 2020 adalah untuk memperkasakan Tindakan Perubahan Iklim melalui Teknologi Hijau.

IGEM adalah platform yang ideal bagi penyelesaian dan perniagaan tenaga hijau dalam memanfaatkan pasaran ASEAN yang berkembang pesat dengan mempamerkan inovasi terkini kepada penggubal dasar, organisasi kerajaan, pelabur dan pasaran secara meluas bagi jenama IGEM. 

IGEM 2020 julung kalinya dianjurkan secara maya dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dijangka raih RM1.6 bilion pelaburan, mengumpulkan 15 buah negara. 

Tambah Tuan Ibrahim, sebanyak 10 rakan kongsi dari dalam dan luar negara memanfaatkan peluang berkenaan dengan dengan penganjuran persidangan dan forum. 

“Usaha ini juga dapat dilanjutkan melalui penerokaan integrasi antara penyelesaian ekonomi hijau dan aplikasinya untuk mencapai matlamat pembangunan lestari untuk pelbagai industri global. 

“Isu-isu yang akan dibahas adalah Peralihan Tenaga, Dialog antara Budaya, NDC, Ekonomi Pekeliling, Kewangan Iklim, Dasar, Pengurusan Sisa, Diplomasi, Polisi, Air, Penyesuaian, Mitigasi, dan Kecekapan Tenaga.

“IGEM 2020 merupakan sokongan kuat dari usaha kementerian melalui agensi dibawah naugannya, MGTC untuk meletakkan Malaysia sebagai negara teratas di rantau ini untuk persidangan dan pameran khususnya dalam bidang kelestarian alam sekitar,” kata beliau. - DagangNews.com