KUALA LUMPUR 8 Sept - Studio pemaju permainan mudah alih Mason Games Sdn. Bhd., hari ini mengumumkan pembelian syarikat itu oleh Iglobsys Technology Sdn Bhd dengan nilai AS$1 juta.
Pembelian yang berlaku setahun selepas penubuhan Mason Games pada Julai 2021 adalah bagi menyokong pertumbuhannya dalam pelbagai bidang termasuk membangunkan projek permainan blockchain pertamanya.
Mereka juga merancang membuka pejabat pembangunan permainan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada suku keempat 2022.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mason Games, Daryl Lau berkata, mereka sangat teruja memulakan perjalanan dengan Iglobsys, sebuah rakan strategik yang akan membantu memecut pertumbuhan pasukan mudanya.
"Iglobsys mempunyai pengalaman yang luas dalam teknologi dan jaringan perniagaan yang besar di seluruh Asia yang bermanfaat ketika kami berusaha meluaskan tapak pasaran dalam permainan mudah alih khususnya di Asia Tenggara.
"Kami berterima kasih dengan kepercayaan mereka terhadap kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Daryl, mereka berharap suatu hari nanti dapat membantu studio permainan lain menjalankan pembangunan permainan lebih rumit yang memberi pengalaman permainan menyeronokkan dan mengasyikkan bagi peminatnya.
Pengarah Iglobsys Technology, Jackie Chong berkata, pihaknya gembira mempunyai Mason Games bersama-sama sebagai rakan yang dihargai.
"Kami yakin Mason Games adalah peluang keemasan kami untuk memasuki bidang perniagaan yang berhadapan terus dengan pengguna, khususnya dengan potensi mereka mengumpulkan pangkalan data pengguna yang luas dalam tempoh yang singkat dengan permainan mereka yang mengasyikkan," katanya.
Seterusnya, Mason Games akan membangunkan projek permainan yang lebih mencabar, khususnya permainan santai dan strategi bagi kedua-dua Android dan iOS.
Tumpuan baharu ini memerlukan pelaburan bakat tambahan bagi mengukuhkan keupayaan teknikal pasukan kerana genre permainan rumit yang baharu memerlukan ujian dan tempoh pembangunan yang panjang sebelum sedia untuk dilancarkan. - DagangNews.com