IJM Corp, Sunway Construction dilihat paling layak raih kontrak MRT3 yang dijangka diumumkan suku keempat ini - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

IJM Corp, Sunway Construction dilihat paling layak raih kontrak MRT3 yang dijangka diumumkan suku keempat ini - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - AmInvestment Bank Research menjangkakan pakej tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan diberikan kepada kontraktor yang layak pada suku keempat ini atau suku pertama 2023 sekiranya tiada sebarang kelewatan. 

 

Menurutnya, setakat ini proses tender bagi dua pakej kerja-kerja am projek tersebut masih lagi berjalan memandangkan tarikh akhir penghantaran tender bagi pakej CMC302 dan CMC303 dilanjutkan sehingga 30 September 2022 manakala tender bagi CMC301 telah ditutup pada 30 Ogos lalu.

 

Firma itu menganggarkan nilai kontrak bagi CMC301 berjumlah RM2.3 bilion manakala CMC302 (RM10.6 bilion) dan CMC303 (RM16.1 bilion). 

 

"Memandangkan pakej ini memerlukan pembiayaan minimum untuk dua tahun awal atau 10% daripada nilai kontrak, kami menjangkakan IJM Corp. Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. adalah dua syarikat kontraktor yang layak berdasarkan kepada kedudukan kunci kira-kira yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti.

 

"WCT Holdings sebelum ini menyatakan ia sedang membida untuk bahagian CMC301 MRT3. Tetapi, kami juga percaya Kimlun Corp. Bhd. dan Econpile Holdings Bhd. akan meraih manfaat daripada pelancaran pakej berkenaan kerana mereka telah memperoleh kontrak yang besar daripada projek MRT sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Mei lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah membuka tiga pakej tender membabitkan projek MRT3 kepada kontraktor yang layak.

 

Tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

Sementara itu, pakej CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.

 

Tarikh serahan bagi Tender CMC301 adalah pada 30 Ogos 2022, manakala bagi Tender CMC302 dan CMC303 adalah pada 2 Ogos 2022. 

 

Baru-baru ini, MRT Corp telah melantik HSS Engineers Bhd. sebagai perunding pengurusan projek membabitkan kontrak bernilai RM997.9 juta.

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagaimanapun, di sebalik prospek positif sektor pembinaan berikutan penganugerahan pakej kerja MRT3, AmInvestment berhati-hati dengan kenaikan kos pembinaan yang boleh menghakis margin operasi.

 

"Selain itu, kami juga bimbang dengan kemungkinan berlakunya penangguhan atau semakan semula kos bagi projek mega. 

 

"Oleh itu, buat masa ini kami mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan penarafan semula bergantung kepada penurunan kos bahan binaan dan kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur awam yang penting," jelasnya.

 

Menurut firma itu, kedudukan fiskal kerajaan terhimpit oleh kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan perbelanjaan bantuan secara besar-besaran bagi mengurangkan impaknya manakala hutang kerajaan kekal tinggi.

 

"Dalam hal ini, kami percaya pelancaran projek infrastruktur awam pada masa akan datang kemungkinan besar akan menggunakan struktur inisiatif pembiayaan swasta, yang akan mengurangkan perbelanjaan modal segera daripada kerajaan.

 

"Ini bermakna kontraktor utama perlu mengambil risiko yang lebih tinggi untuk mengambil bahagian dalam pembiayaan projek," katanya.
 

Pada masa sama, AmInvestment juga menjangkakan masalah kekurangan buruh akan berkurangan pada separuh kedua ini, sekali gus membolehkan syarikat kontraktor bersedia menyertai pelancaran projek mega seperti MRT3. - DagangNews.com