IJM Plantations: Terima sahajalah tawaran KLK - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

IJM Plantations: Terima sahajalah tawaran KLK - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Wajar untuk IJM Plantations Berhad (IJMP) menerima tawaran pengambilalihan kepentingannya oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

 

Itu saranan firma penyelidikan, MIDF Research yang melihat tawaran berkenaan satu peluang besar buat IJMP untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu pemain utama dalam sektor perladangan di Malaysia. 

 

Tawaran harga pengambilalihan pada kadar RM3.10 sesaham juga dilihat berpatutan oleh MIDF, setelah mengambil kira harga minyak masak mentah (MSM) yang telah melepasi RM4,000 setiap tan, di mana merupakan paras tertinggi. 

 

“Tawaran pada kadar RM3.10 sesaham meletakkan nilai IJMP pada 19x dalam nisbah harga kepada perolehan (PER) - melebihi penilaian kami iaitu RM2.62 di mana berdasarkan penilaian 16x PER tahun kewangan 2022 (FY22), iaitu termasuk dalam julat PER pesaingnya antara 14x hingga 17x.

 

“Harga tawaran itu diterjemahkan ke dalam penilaian sebanyak RM1.53 bilion dan jika KLK memperluaskan tawaran itu kepada semua baki saham IJMP, nilai tawaran itu akan membawa kepada (permodalan pasaran) RM2.7 bilion.  

 

“Kami berpendapat tawaran itu adil buat KLK untuk memperoleh kepentingan majoriti dalam IJMP (pada 18% premium kepada harga sasaran (TP) kami iaitu RM2.62) dan dilihat cukup menarik buat pemegang saham minoriti IJMP untuk menerimanya, sekiranya tawaran itu dilanjutkan kepada tawaran berwajib ke atas semua pemegang saham IJMP,” jelas MIDF dalam satu nota kajiannya. 

 

Dalam makluman KLK di Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu membuat tawaran untuk mengambilalih 56.2% kepentingan atau mewakili 494.8 juta saham yang dipegang IJM Corporation Berhad (IJM) di dalam IJMP, melibatkan nilai keseluruhan RM1.53 bilion.

 

Baca : Jual saham IJM Plantations waktu tepat untuk IJM, kata MIDF

 

IJM memaklumkan bahawa kumpulan bersetuju ke atas tawaran itu, yang akan berakhir pada 11 Jun. 

 

Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah dan pemegang saham KLK serta IJM selain persetujuan daripada pemberi pinjaman IJM dan IJMP.

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham IJMP dengan TP pada kadar RM2.62 sesaham.

 

Sementara itu, GCS-CIMB Research turut meletakkan penarafan ‘tambah’ ke atas saham KLK dengan TP tidak berubah pada kadar RM25.25 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pengambialihan saham IJMP akan meningkatkan estet minyak sawit KLK sebanyak 28.7% kepada 274,688 hektar. 

 

Ini sekali gus membolehkan KLK untuk menurunkan sedikit profil purata umur tanamannya dan kumpulan juga mungkin tidak berdepan masalah untuk membeli kepentingan IJMP menerusi tunai, menurut ramalan CGS-CIMB. 

 

Hal ini kerana KLK memiliki pemegangan tunai sebanyak RM4.0 bilion setakat penghujung Mac 2021 dan paras penggearan bersih pada kadar 24%, menurut firma penyelidikan itu lagi.

 

“Namun, kami menjangkakan pengambilalihan IJMP akan meningkatkan penggearan KLK kepada 37% atau 46% berdasarkan andaian pengambilalihan kepentingan masing-masing sebanyak 56.2% atau 100% dalam IJMP. 

 

“Kami percaya bahawa pengambilalihan majoriti kepentingan IJMP akan mengambil masa selama tiga bulan, dan ini seterusnya akan diperluaskan kepada tawaran umum oleh KLK kepada baki saham IJMP pada kadar sama iaitu RM3.10,” tambah CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com