Pelabur asing beli RM271.5 juta ekuiti tempatan minggu keenam berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM271.5 juta ekuiti tempatan minggu keenam berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut dengan jumlah keseluruhan bernilai RM271.5 juta.

 

MIDF Research berkata, ia adalah minggu dagangan pendek kerana pasaran ditutup pada Isnin bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul. 

 

Katanya, pelabur asing membeli bersih ekuiti tempatan sebanyak RM167.7 juta pada Selasa, RM122.9 juta pada Khamis, dan RM57 juta pada Jumaat, manakala menjual ekuiti tempatan sebanyak RM76.1 juta pada Rabu.

 

"Eksport Malaysia melebihi jangkaan pada Ogos 2024, didorong oleh permintaan kukuh untuk barangan elektronik dan peningkatan ketara dalam penghantaran ke Amerika Syarikat (AS)dan rakan dagangan utama yang lain.

 

"Eksport meningkat sebanyak 12.1% mencecah RM129.16bilion. Sementara itu, import kasar berjumlah RM123.49 bilion, mencerminkan pertumbuhan 26.2%," katanya dalam dalam laporan aliran dana berakhir 20 September 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM352.2 juta), penjagaan kesihatan (RM211.9m) dan hartanah (RM55 juta), manakala sektor yang paling tinggi aliran keluar bersih asing ialah utiliti (RM172.3 juta), teknologi (RM85.3 juta), dan produk & perkhidmatan pengguna (RM49.7 juta).

 

Institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan dengan belian bersih RM38.7 juta minggu lepas, menandakan aliran masuk bersih minggu kedua berturut-turut.

 

Sementara itu, peruncit tempatan menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut, sebanyak RM310.2 juta.

 

Purata volum dagangan harian (ADTV) masing-masing melonjak 10.9%, 4.9% dan 42.9% dalam kalangan peruncit tempatan, institusi tempatan dan pelabur asing. - DagangNews.com