KUALA LUMPUR 19 Mei - Ikano Centres hari ini mengumumkan ‘Klippa’ sebagai nama destinasi perniagaan pusat beli-belah dan pembangunan bercampur miliknya yang bakal menjadi pusat dan hab kebudayaan untuk kawasan perbandaran Batu Kawan di Pulau Pinag yang sedang berkembang pesat.
Ikano Centres adalah sebahagian daripada Ikano Retail, pemilik gedung IKEA di lima negara serta pusat-pusat beli-belah yang dinaungi oleh IKEA. Pembangunan bercampur itu merupakan projek pertama di wilayah utara.
Lokasinya yang strategik dengan akses terus ke Jambatan Kedua Pulau Pinang dan bersambungan dengan IKEA, Klippa menawarkan pengalaman peruncitan unik yang dilengkapi dengan pusat beli-belah bersepadu seluas 1.6 juta kaki persegi kawasan sewa kasar (GLA) dan menempatkan lebih 300 jenama.
Ikano Centres turut menerokai peluang komersial dan kediaman tambahan untuk dimasukkan ke dalam kawasan tumpuannya yang akan dibangunkan mengikut fasa bagi memenuhi keperluan komuniti Batu Kawan yang kian berkembang terdiri daripada pelajar, keluarga, dan profesional di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) yang berhampiran.
Fasa pertama Klippa yang telah dilancarkan pada Disember 2019 menjadi pelengkap kepada pengalaman membeli-belah di IKEA Batu Kawan, yang menawarkan 20 jenama di atas 80,000 kaki persegi GLA.
Pengarah Urusan Pusat Beli-Belah Penggunaan Bercampur Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, menerusi Klippa, pihaknya menyasarkan untuk menjadi batu asas dalam komuniti yang sedang berkembang pesat dan mengubah Batu Kawan menjadi sebuah hab komersial dan riadah yang terkemuka di Pulau Pinang.
"Pembangunan tempat pertemuan ini menekankan kepada usaha untuk menyediakan satu pengalaman pelanggan yang holistik, lengkap dengan kemudahan untuk semua keperluan membeli-belah, makan, berhibur dan beriadah bagi para pengunjung di wilayah ini.
"Selain itu, Klippa juga bakal mencipta 5,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan yang mampu meningkatkan lagi tahap kesejahteraan sosial ekonomi warga Pulau Pinang," katanya.
Pengarah Komersial Ikano Centres, Arnoud Bakker pula berkata, pihaknya akan terus menilai keperluan pelanggan di Utara Malaysia dan mereka bentuk tempat pertemuan di Klippa dengan sewajarnya.
“Kami juga akan bekerjasama rapat dengan Aspen Vision City (AVC) dan rakan kami di Taman Perindustrian Batu Kawan yang berhampiran untuk menjadikan Klippa sebagai tempat yang mana orang ramai boleh tinggal, bekerja, dan mencipta memori bersama-sama," katanya.
Sebahagian daripada minggu pengumuman nama rasminya, Klippa akan menganjurkan bazar artis Creative Spark edisi terbarunya dengan kerjasama EKHA untuk mengadakan siri bengkel upcycling.
Pada masa sama, sempena penempatan semula lokasi karya grafiti Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang ke Batu Kawan, Klippa akan menganjurkan acara larian ria yang dikenali sebagai “Klippa Art Run” pada 31 Julai 2022 dan para peserta yang berminat boleh mendaftar di dalam talian bermula pada 17 Mei dan seterusnya di https://bit.ly/KlippaArtRun2022. - DagangNews.com