KUALA LUMPUR 26 Nov - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati MARA Inc melakukan pembelian hartanah terlebih nilai di London, United Kingdom (UK) dan Melbourne, Australia masing-masing pada 2013 serta 2014.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, transaksi membabitkan pembelian Dudley International House di 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street di Melbourne, diikuti Beaumont House di London itu tidak diluluskan Kementerian Kewangan (MOF).
Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) didapati merayu dan perkara itu dibawa kepada Majlis Ekonomi yang kemudiannya memberi kelulusan pada 2013.
Perkara berkenaan antara penemuan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini, dengan Mas Ermieyati memaklumkan kes pembelian hartanah terlebih nilai di Melbourne, Australia sudah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini masih dalam perbicaraan di mahkamah.
"Bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku, PAC mengesyorkan KKDW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) dan MARA Inc perlu memastikan cadangan pelaburan sama ada dalam dan luar negara termasuk pemerolehan aset yang bernilai tinggi seperti hartanah mematuhi dasar terkini kerajaan dengan keutamaan dalam pelaburan domestik.
"Cadangan berkenaan perlu mendapat kelulusan MOF terlebih dahulu dan keputusan MOF perlu dipatuhi bagi mengelakkan skandal pembelian hartanah tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Penemuan dan syor PAC berhubung Pengurusan MARA Inc adalah hasil daripada tiga prosiding yang diadakan pada 30 dan 31 Julai lalu, selain 19 September 2024.
Saksi yang hadir memberi keterangan dan penjelasan termasuk Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Roslan Abu Bakar; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf; Pengarah Perancangan Korporat Kumpulan MARA Corp, Datuk Amir Azhar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Mohd Fadzil Mohd Idris.
Selain itu, Mas Ermieyati berkata, PAC juga berpandangan tindakan MARA Inc memohon penukaran hutang sedia ada Premiera Hotel kepada ekuiti buat kali kedua selepas kali pertama pada 2015 adalah satu langkah yang seharusnya tidak berulang.
Justeru, katanya PAC mengesyorkan KKDW, MARA, MARA Corp dan MARA Inc perlu memastikan Premiera Hotel mempunyai perancangan jelas untuk memastikan penukaran hutang kepada ekuiti dapat membantu memberi pulangan ke arah kelestarian syarikat.
Melalui laporan sama juga PAC mengesyorkan beberapa perkara untuk dilaksanakan seperti KKDW, MARA dan MARA Inc perlu memastikan semua projek pembangunan termasuk pembangunan hartanah dan projek tenaga boleh baharu serta pelan pemasaran disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan agar dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi.
MARA Corp juga perlu tegas dalam mengawal selia semua anak syarikatnya supaya dapat menjana keuntungan dan mampu membayar balik hutang dan membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan.
"MARA Inc perlu menyediakan Pelan Operasi Standard (SOP) penyewaan hartanah yang lengkap supaya isu tunggakan sewa tidak berlaku dan tidak menjadi hutang lapuk , selain hendaklah menggubal satu polisi yang lengkap dan jelas berhubung penilaian hartanah," katanya.- DagangNews.com