Impak Cukai Makmur, kos susut nilai jejaskan untung bersih Maxis pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Impak Cukai Makmur, kos susut nilai jejaskan untung bersih Maxis pada suku kedua

KUALA LUMPUR 28 Julai - Untung bersih Maxis Bhd. pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 susut 8.61% kepada RM329 juta berbanding RM360 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kos susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi serta Cukai Makmur.

 

Pendapatan syarikat telekomunikasi itu bagaimanapun meningkat 6.6% kepada RM2.42 bilion daripada RM2.27 bilion disumbangkan menerusi perniagaan perusahaan dan pengguna yang lebih kukuh.

 

Hasil perkhidmatan pada suku itu meningkat kepada RM2.08 bilion, naik 4.3% berikutan sumbangan kukuh perniagaan pengguna dan perusahaan.

 

Perniagaan pengguna merekodkan pertumbuhan merentas semua segmen, membawa hasil kepada RM1.7 bilion, meningkat sebanyak 4.4% manakala perniagaan perusahaan pula menjana hasil sebanyak RM386 juta, naik 4% dengan memanfaatkan kekuatannya dalam mudah alih.

 

Perbelanjaan modal (capex) pada suku berkenaan adalah berjumlah RM241 juta, meningkat 33.9% tahun ke tahun dengan syarikat meneruskan pelaburan besarnya untuk menyampaikan prestasi rangkaian konvergen terbaik dan pengalaman pelanggan, meningkatkan kapasitinya untuk menyokong agenda pendigitalan negara. 

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, untung bersih Maxis susut 9.65% kepada RM627 juta daripada RM694 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan meningkat 7% kepada RM4.83 bilion daripada RM4.51 bilion disokong hasil perkhidmatan yang lebih tinggi.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, prestasi kukuh kumpulan merentas semua segmen menunjukkan penekanan tumpuan kepada strategi dan ketangkasan untuk kedudukan yang baik dalam pertumbuhan dan landskap telekomunikasi yang kompetitif dan berubah pantas. 

 

"Kami akan terus fokus untuk meningkatkan prestasi rangkaian konvergen kami dengan memanfaatkan bakat sedia ada untuk menyampaikan inovasi dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya. - DagangNews.com