Imunisasi kelompok menjelang Disember 2021 peluang F&N lonjak pendapatan lebih baik | DagangNews Skip to main content

Imunisasi kelompok menjelang Disember 2021 peluang F&N lonjak pendapatan lebih baik

Fraser & Neave Holdings (F&N)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Sasaran untuk mencapai imunisasi kelompok atau 'herd immunity' menjelang Disember 2021 menjadi peluang lebih baik bagi Fraser & Neave Holdings (F&N) untuk melonjakkan lagi pendapatan syarikatnya.

 

Kenanga Research berkata, perkara itu dinilai kepada prestasi dan ketahanan perniagaan syarikat berkenaan yang ditonjolkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

 

"Menilai kepada keadaan sekatan dan aktiviti akhir tahun serta permintaan yang tertangguh, kami melihat prestasi pendapatan yang mantap dan berterusan bagi F&N untuk tempoh akan datang.

 

"Pelaburan yang dibuat dalam Kumpulan Sri Nona turut membuktikan prestasinya dalam musim perayaan baru-baru ini, selain penyediaan platform untuk terlibat dalam segmen makanan halal dan penawaran produk yang berkemungkinan akan memperluas eksport halalnya di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan ASEAN," jelas Kenanga Research.

 

Dalam prestasi kewangan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21), F&N mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 6.5% berbanding tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bersih bagi suku ketiga 2021 mencecah RM105 juta, meningkat 11.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan keuntungan bersih F&N bagi tempoh 9MFY21 sebanyak RM345 juta.

 

Kenanga Research berkata, pencapaian itu adalah 82.5% sejajar dengan jangkaan pihaknya.

 

Mengulas perkara sama, CGS-CIMB Research berkata, lonjakan pendapatan bagi tempoh 9M21 itu turut didorong oleh jualan yang tinggi bagi operasi F&N di Malaysia yang meningkat 8.2% dan 4.6% di Thailand berbanding tahun lalu.

 

Bagaimanapun, prestasi tersebut turut menyaksikan margin sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) merosot 0.5% mata tahun ke tahun kepada 16.8%.

 

Ia didorong oleh tiga faktor utama iaitu kos bahan mentah yang lebih tinggi, perbelanjaan berkaitan COVID-19 dan kos pengangkutan yang lebih tinggi yang mempengaruhi margin eksportnya.

 

"Bagaimanapun, keuntungan bersih 9MFY21 yang meningkat 6.5% itu didorong oleh penurunan kadar cukai (-2.4% mata) dan kos kadar faedah (-48.2% yoy).

 

CGS-CIMB Research membuat semakan terhadap penarafan saham F&N dengan menaik taraf kepada 'tambah' bersama harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM28.50. - DagangNews.com